Dana Tabung Memali di bawah tanggungjawab PAS Kedah, kata Mat Sabu

Dana Tabung Memali di bawah tanggungjawab PAS Kedah, kata Mat Sabu

Mat Sabu menjawab dakwaan penyelewengan Tabung Memali yang pernah dibangkitkan satu ketika dulu oleh seorang aktivis PAS.

mat-sabu-tragedi-memali-tabung-kedah
KUALA LUMPUR: Semua kutipan sebuah dana yang ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa tragedi Kampung Memali 3 dekad lalu diuruskan sepenuhnya PAS Kedah, kata bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang kini mengetuai Amanah.

Mohamad atau Mat Sabu berkata demikian turut menjelaskan wang kutipan untuk Tabung Memali yang dimulakan beberapa bulan selepas insiden yang meragut 14 nyawa penduduk kampung itu sudah diagihkan kepada mangsa dan waris.

“Tabung Memali dibuat di peringkat negeri Kedah dan pengagihan dijalankan di bawah PAS negeri Kedah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan sebelum ini mengenai penyelewengan melibatkan tabung tersebut.

“Itu secara perinciannya kena tanya PAS Kedah dan isu itu telah lama sejak wujudnya isu Memali,” kata Mat Sabu.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang juga bekas ketua Pemuda PAS, berkata ketika bersama PAS, beliau dimaklumkan dana tersebut diagihkan kepada kepada keluarga mangsa Memali.

“Kita bersetuju untuk menyerahkan isu ini (Tabung Memali) kepada PAS Kedah dan kami dimaklumkan PAS Kedah berjumpa dengan keluarga mangsa Memali,” katanya.

Tragedi Memali kembali dibincangkan selepas soalan mengenainya dibangkitkan pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985. Pergaduhan tercetus selepas penduduk kampung mempertahankan guru agama Ibrahim Mahmud daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.

PAS ketika itu menolak tuduhan terhadap Ibrahim, yang turut terkorban bersama 18 lain, termasuk 4 anggota polis.

Empat tahun lalu seorang aktivis yang bertanggungjawab mengurus Tabung Memali pernah mendesak siasatan dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan kutipan dana berjuta ringgit.

“Jangan pula lepas ini pucuk pimpinan PAS dakwa isu penyelewengan Tabung Memali ini pun isu basi. Masih ada 9 balu Memali yang hidup dalam keadaan daif, masih ramai anak-anak yatim tragedi Memali yang memerlukan duit untuk meneruskan pengajian mereka,” kata Zainon Ismail atau nama penanya CN Al-Afghani seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada awal 2013.

“Tapi ke mana hilang semua harta balu, anak yatim dan mangsa Memali ini?” soalnya.

Menurutnya, masih terdapat sejumlah RM65,000 ketika PAS mengambil keputusan menutup Tabung Memali.

“Sebelum ditutup tabung ini yang dipecah kepada tiga iaitu Tabung Mangsa Memali, Tabung Balu Memali dan Tabung Anak-Anak Yatim Memali bernilai lebih RM1 juta tetapi ia ghaib begitu sahaja. Kenapa PAS tidak siasat?” soal Zainon.

Tabung Memali ditubuhkan untuk membiayai kos guaman 14 balu yang menyaman kerajaan, di samping membiayai pendidikan anak yatim serta membantu kos sara hidup mangsa Memali.

Sumbangan dikumpul melalui 4 pihak iaitu akhbar parti Harakah, Pejabat PAS Pusat, Pejabat Perhubungan PAS Kedah dan Madrasah Islahiah Diniah di Kampung Memali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.