
Ishak Ismail, 56, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Azman Abu Hassan.
Tertuduh didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan memiliki wang berjumlah RM1,113,250 hasil aktiviti haram di sebuah rumah di Batu 14, Simpang 3 Sungai Daun, Yan, kira-kira 3 petang, 19 Januari lalu.
Ishak didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Azman menetapkan 4 hari bermula 13 November sebagai tarikh perbicaraan dan dikenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, A Hafiizh Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam Muhammad Ariff Shaharuddin.