
Menurut Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Counter-Terrorism Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, trend rakyat Malaysia menyertai IS kelihatan semakin perlahan selepas kematian Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka sudah tidak aktif, katanya.
“Mereka mungkin aktif, tetapi kita belum dapat menjejaki aktiviti mereka,” katanya dalam laporan New Straits Times.
“Ini sebabnya kita akan teruskan pengawasan dan pengumpulan risikan untuk memastikan sebarang cubaan melancarkan serangan boleh dicegah.”
Dalam laporan itu, Ayob menambah serangan berseorangan boleh berlaku di mana sahaja dan mustahil dicegah tanpa risikan.
Wanndy, 27, ialah penyelaras utama IS untuk Malaysia, terbunuh dalam satu serangan di Syria awal tahun ini.
Wanndy dilaporkan mempunyai kaitan dengan serangan bom tangan di kelab Movida, Puchong 28 Jun tahun lepas, yang dikatakan serangan IS pertama di Malaysia.
Dia juga berada dalam senarai paling dikehendaki Amerika Syarikat atas penglibatannya dalam pembiayaan dan penyediaan sokongan operasi untuk IS.