Operasi cari 10 kru kapal pemusnah AS disambung esok

Operasi cari 10 kru kapal pemusnah AS disambung esok

Kapal USS John S McCain berlanggar kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia kira-kira 5.40 pagi tadi menyebabkan 5 kru kapalnya cedera, manakala 10 lagi terjatuh ke dalam laut dan hilang.

Datuk-Adon-Shalan
JOHOR BAHRU:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 kru kapal pemusnah Amerika Syarikat, USS John S McCain, yang hilang dalam pelanggaran dengan sebuah kapal dagang dekat sini awal hari ini, dihentikan pada 7.30 malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Adon Shalan dalam kenyataannya malam ini berkata, operasi itu akan disambung semula 7 pagi esok.

Operasi SAR hari ini yang bermula 8.45 pagi, dibahagikan kepada 4 sektor meliputi keluasan 100 batu nautika persegi di perairan Teluk Ramunia, Johor.

Kapal USS John S McCain itu berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia kira-kira 5.40 pagi menyebabkan 5 kru kapalnya cedera, manakala 10 lagi terjatuh ke dalam laut dan hilang.

Susulan kejadian itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar 4 kapal, iaitu Kapal Diraja (KD) Handalan, KD Gempita, KD Lekiu, CB90 dan sebuah helikopter Super Lynx untuk membantu kapal APMM dalam operasi SAR.

Operasi itu turut melibatkan sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selain aset APMM termasuk kapal KM Mulia dan 2 bot, iaitu Petir 12 dan Penggalang 39 dari Wilayah Maritim Selatan.

Bagi pihak Singapura pula, operasi SAR diketuai Pihak Berkuasa Maritim dan Pelaburan Singapura (MPA) sambil dibantu agensi berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.