Kemarahan belum reda, Indonesia akan hubungi duta Malaysia

Kemarahan belum reda, Indonesia akan hubungi duta Malaysia

Menteri dalam negeri Indonesia berkata sebagai 'jiran rapat', Malaysia patut tahu warna bendera Indonesia.

Tjahjo-Kumolo-bendera-indonesia-salah-print
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tjahjo Kumolo mendakwa Malaysia tidak prihatin terhadap Indonesia selaku “jiran dekat” berhubung insiden bendera Indonesia yang dicetak terbalik, lapor Kompas.com.

“Malaysia negara jiran kita, negara sahabat Indonesia yang dikatakan negara serumpun. Tetapi keprihatinannya terhadap Indonesia dalam urusan prinsip tidak diperhatikan.

“Isu salah cetak bendera, pasti ada semakan bahan tersebut oleh pihak kerajaan sebelum mencetaknya. Ternyata tidak ada perhatian, hanya luluskan sahaja,” kata Tjahjo.

Beliau berkata, sebagai “jiran rapat”, Malaysia pastinya tahu warna merah-putih bendera Indonesia. Insiden itu menunjukan Malaysia kurang memberi perhatian pada jirannya.

“Kita faham kalau salah nama. Tetapi tersalah lambang negara payah kita nak faham walaupun alasannya cuai,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun permohonan maaf sudah dibuat tetapi Malaysia perlu memberi penjelasan penyebab terjadinya kesilapan itu.

Tjahjo juga merancang untuk menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia agar insiden sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Sabtu lalu semasa perasmian Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bendera Indonesia dicetak terbalik di dalam buku cenderahati di mana jalur putih berada di atas dan jalur merah di bahagian bawah menyerupai bendera Poland.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kemudiannya menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah KL2017 kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu.

Ia disampaikan Khairy semasa pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

Ahli politik Indonesia mahu Malaysia bertindak ke atas penganjur Sukan SEA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.