Indonesia mohon maaf, akui silap besar keluar gelanggang

Indonesia mohon maaf, akui silap besar keluar gelanggang

Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia, H Syafrizal Bakhtiar berkata, video ulangan menunjukkan tekong mereka melakukan kesalahan dengan mengangkat kaki kiri sewaktu melakukan servis.

indonesia-takraw
KUALA LUMPUR:
Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSI) mengakui skuad sepak takraw wanita negara itu melakukan kesilapan besar dengan meninggalkan gelanggang semasa perlawanan menentang Malaysia, semalam.

Timbalan Presiden PSI, H Syafrizal Bakhtiar berkata, tindakan jurulatih serta pemain itu kerana terlalu beremosi dan kecewa terhadap pengadil.

“Namun, setelah meneliti dan melihat semula data dan video ulangan, ternyata tekong kami mengangkat kaki sewaktu melakukan servis dan ia adalah satu kesalahan.

“Ketika itu, jurulatih, pemain dan barisan pengurusan kami hanya melihat dari mata kasar dan kami telah melakukan kesilapan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Syafrizal, beliau yang bertindak sebagai pengurus pasukan semalam cuba memujuk jurulatihnya tidak meninggalkan gelanggang, namun disebabkan perlawanan yang “panas”, hal kecil pun boleh menjadi besar.

“Saya sebagai pengurus pasukan sudah berusaha mengikuti regulasi yang kami tidak boleh melakukan protes besar dan hanya boleh membuat bantahan mengikut undang-undang Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan menggunakan prosedur betul.

“Tetapi, kerana sudah tidak terbendung pada waktu itu, kami melakukan juga ‘keluar gelanggang’ dan kami kesal serta memohon maaf atas kesilapan yang kami lakukan itu,” katanya.

Insiden protes sehingga meninggalkan gelanggang itu adalah tanda bantahan jurulatih Indonesia, Asry Syam terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan 4 servis dilakukan tekong negara itu, Lena, ketika mereka mendahului set ke-2 dengan 16-10.

Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan 2-0 secara pembatalan kepada Malaysia, selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan keputusan 22-20.

Nasib Indonesia bakal diketahui dalam masa terdekat ini, selepas Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan akan bermesyuarat dengan jawatankuasa teknikal lain bagi menentukan jenis hukuman akan dikenakan kepada republik itu.

Pasukan Indonesia keluar gelanggang dakwa pengadil berat sebelah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.