
Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantar seramai 76 jemaah haji yang diuruskan Felda Travel hari ini, beliau berkata, lembaga pengarah FGV akan membuat keputusan berdasarkan penemuan dan laporan panel siasatan.
“Sama ada (4 orang yang disiasat) bersalah atau tidak, kita buat keputusan (selepas terima laporan panel siasatan). Lembaga pengarah akan fikir apa tindakan selanjutnya. Ini siasatan dalaman, jadi ia adalah hak mutlak lembaga pengarah,” katanya lagi.
Tambah Sulaiman, pada masa ini 3 daripada 4 anggota pengurusan kanan sudah selesai disoal dan hanya berbaki seorang lagi. Siasatan ke atas setiap seorang anggota mengambil masa seminggu.
“Proses siasatan ini masih berterusan dan setakat ini semua yang terlibat bekerjasama yang baik kepada ahli panel. Panel siasatan berkenaan yang dianggotai oleh 3 ahli adalah bebas kerana mereka tidak terlibat dalam keputusan untuk mengambil tindakan,” katanya.
Laporan sebelum ini menyebut 4 orang yang disiasat ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, ketua pegawai kewangan kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha serta 2 lagi pegawai pengurusan kanan.
FGV dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, lembaga pengarah FGV memutuskan untuk merujuk Zakaria dan Ahmad Tifli kepada panel siasatan dalaman selepas menilai dan menimbang surat tunjuk sebab mereka berhubung isu berkaitan dengan hutang tertunggak Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.