
Singapura dan Thailand, juara keseluruhan 2 tahun lalu, masing-masing mengekori tuan rumah di tangga ke-2 dan ke-3 dengan 3 emas, Indonesia dan Myanmar dengan 2 manakala Filipina menamatkan kemarau kilauan emas dengan merangkul emas acara maraton wanita.
Sejumlah 404 emas dipertandingkan pada edisi kali ini dengan 18 dimenangi sejak 5 hari lepas dan 21 lagi akan ditentukan esok apabila 5 emas menjadi persaingan dalam acara wushu.
Di Terengganu, perlumbaan kuda lasak 80km membuka tirai dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin antara penserta memburu emas dalam acara individu dan berpasukan.
Anggota komondo, Muhaizar Mohammad menamatkan kemarau pingat selama 44 tahun dalam acara maraton lelaki apabila menamatkan larian di tempat ke-3, selepas M. Solaimuthu meraih gangsa pada edisi 1973 di Singapura.
“Saya hanya berlatih selama sebulan dan meletakkan sasaran menyumbang pingat untuk negara.
“Alhamdulillah saya mencapainya dan berterima kasih atas sokongan isteri, anak-anak dan ibu bapa,” kata pelari berusia 32 tahun yang merakamkan masa 2:31:52s di belakang juara bertahan Soh Rui Yong dari Singapura dan pemenang pingat perak, Agus Prayogo dari Indonesia.
Skuad sepak takraw negara hanya mampu berkongsi pingat gangsa dengan Brunei dalam saingan regu berpasukan selepas Thailand mengekalkan emas yang dimenangi sejak edisi 1993 manakala tuan rumah Sukan Asia 2018, Indonesia, meraih perak.
Cabaran skuad itu dalam acara beregu berpasukan bermula Isnin ini.
Dalam acara bola jaring, Malaysia tinggal selangkah lagi bagi merealisasikan impian emas apabila muncul pasukan favourit dalam pertemuan final dengan juara bertahan Singapura, esok.
Malaysia, selaku juara Asia, memiliki kelebihan pada perlawanan akhir selepas mengalahkan negara jiran itu 50-37 dalam saingan pusingan awal.
Buruan emas Malaysia juga bersandarkan kepada acara boling, yang membuka gelanggang esok, dengan tumpuan terletak pada peserta muda, Muhd Rafiz Ismail, untuk mempertahankan gelaran acara perseorangan.
Anak muda berusia 20 tahun itu turut pulang dari edisi lepas di Singapura dengan emas dalam acara trio dan 5 sepasukan.
Pemanah negara akan kembali semula ke lapang sasar dalam saingan acara recurve selepas pasukan compound menghadiahkan 3 emas untuk kontinjen negara.
Dalam acara polo air lelaki, Malaysia berada di landasan untuk mengakhiri kemarau pingat selama 12 tahun apabila bertemu Singapura untuk pingat gangsa dalam aksi akhir pusingan round-robin.
Pusat Akuatik Nasional sekali lagi akan menjadi medan pertembungan antara Malaysia dan Singapura apabila acara renang berirama kembali semula selepas berhenti rehat sehari.
Gandingan negara, Zylane Lee Yhing Huey dan pemenang emas acara solo teknikal, Gan Hua Wei akan berentap dengan pencabar Debbie Soh dan Miya Yong Hsing dalam acara duet rutin bebas selepas gandingan Singapura mengenepikan saingan negara tuan rumah untuk emasa dalam acara duet teknikal.
Sukan wushu akan membuka gelanggang dengan 5 emas menjadi pertarungan dalam acara jianshu dan taijihan lelaki dan jianshu, nanquan dan gunshu wanita dengan wakil negara Loh Jack Chang, pemenang pingat perak di Singapura, sekali lagi dijangka menjadi antara pencabar utama.