Kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah beroperasi semula

Kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah beroperasi semula

Kantin dibenarkan beroperasi semula selepas premis mematuhi syarat Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

kantin
SHAH ALAM: Kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang diarah tutup petang semalam selepas didapati tidak mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dibenarkan beroperasi semula pada 10.00 malam hari yang sama.

Pengarah HTAR Dr Ding Lay Ming ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata keputusan itu dibuat selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang membuat penilaian semula terhadap tahap kebersihan kantin HTAR dan meluluskan untuk pembukaan semula selepas premis tersebut mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

PKD Klang mengeluarkan notis arahan penutupan kantin itu kira-kira 2.00 petang semalam selepas melakukan pemeriksaan susulan video seekor tikus berada di dalam bekas sayur yang dihidangkan kepada pelanggan, tular di laman media sosial.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Zailan Adnan berkata kebenaran membuka semula kantin tersebut dibuat selepas mengambil kira kebajikan pelawat dan warga kerja hospital HTAR.

Dr Zailan berkata pihaknya akan sentiasa memantau kebersihan di kantin hospital dan akan menyenarai hitam serta menamatkan kontrak pengusaha kantin yang kerap dikenakan tindakan notis pembersihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.