
Setiausaha NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata guru tidak sewenang-wenangnya menghukum pelajar, malahan jika ada pelajar yang didenda dan dihukum, tindakan itu diambil kerana pelajar itu melakukan kesalahan seperti bertindak kasar dan memukul guru hingga mampu membawa impak negatif kepada semua pihak terbabit.
“Oleh itu, pihak NUTP menyarankan agar guru yang menjalankan hukuman seperti mendenda murid tidak dijadikan isu sehingga boleh menyebabkan guru berkenaan dibawa atau diheret ke mahkamah seolah-olah guru itu yang bersalah.
“Ini kerana tindakan yang diambil oleh guru bertujuan mendisiplinkan murid dan membentuk mereka menjadi insan yang berintegriti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam menangani isu disiplin pelajar, semua pihak perlu ‘duduk semeja’ dan mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu ini secara telus.
Menurut Tan, NUTP juga merayu guru tidak mendapat tekanan daripada pihak luar termasuk Kementerian Pendidikan, polis dan masyarakat sehingga mereka takut untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagai warga pendidik.
Beliau berkata isu disiplin sebenarnya bukan satu masalah baharu kerana ia wujud sejak dahulu lagi namun kini masalah itu amat berbeza.
“Ibu bapa dan murid lebih tahu hak masing-masing. Perkara ini bertambah dan menjadi rumit apabila kebelakangan ini beberapa kes disiplin murid dan guru dipaparkan dalam media sosial dan ada sesetengah isu sengaja ditularkan oleh ibu bapa atau murid itu sendiri,” katanya.
Menurutnya Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 berkaitan kuasa guru merotan murid telah lama disediakan oleh Kementerian Pendidikan dan semua pihak perlu sedar tujuan utama pelaksanaan hukuman rotan oleh pengetua dan guru yang diberikan kuasa adalah sebahagian daripada proses pendidikan.