Imigresen mahu mahkamah Pati, hukuman sebat majikan dilaksanakan

Imigresen mahu mahkamah Pati, hukuman sebat majikan dilaksanakan

Imigresen mahu peruntukan dalam Akta Imigresen dapat dilaksanakan.

Mustafar-Ali
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan ketua hakim negara pada minggu depan, antaranya bagi membincangkan penubuhan sebuah mahkamah khas untuk membicarakan kesalahan berhubung pendatang tanpa izin (Pati).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata mahkamah itu dapat mempercepatkan proses pendakwaan dan hukuman melibatkan Pati.

Mustafar juga mahu berbincang mengenai penguatkuasaan sebat dalam usaha memastikan hukuman lebih berat ke atas majikan yang menggaji Pati.

“Pertemuan itu juga bertujuan menyampaikan pandangan masyarakat dalam soal hukuman terhadap pesalah termasuk majikan yang melindungi Pati,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata, hukuman sebat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) tidak dilaksanakan, sebaliknya majikan hanya dikenakan kompaun RM5,000, selain denda dan penjara bagi kes tertentu.

Di bawah Seksyen 55B akta itu, mana-mana majikan yang didapati bersalah menggaji pendatang asing tanpa permit yang sah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Manakala majikan menggaji lebih 5 pekerja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan 6 sebatan.

Mustafar berkata jabatannya hanya boleh membuat pendakwaan.

Katanya, walaupun aspek hukuman berdasarkan merit setiap kes, Imigresen berharap majikan dikenakan hukuman lebih berat lagi.

“Jadi kita akan bincang dengan ketua hakim negara dalam soal ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.