
Presiden badan bukan kerajaan (NGO) itu, Ajit Johl mencadangkan Kementerian Pengangkutan menubuhkan sebuah jawatankuasa pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu PSC.
Mavcom berkata, untuk membiayai operasinya selepas peruntukan kerajaan tamat tahun depan, mereka bercadang mengenakan levi RM1 kepada pelancong berlepas dari Malaysia, mulai Januari 2018.
Mavcom juga mahu melaksanakan “penyamaan menyeluruh” untuk PSC di semua lapangan terbang tempatan pada Januari depan.
“PSC antarabangsa untuk destinasi melepasi Asean di klia2 masih rendah berbanding KLIA dan lapangan terbang lain. Penyamaan menyeluruh yang kami sedang kaji tahun ini mungkin menyebabkan kenaikan dari RM50 (caj sekarang) kepada RM73,” kata Ketua Pegawai Operasi Mavcom, Azmir Zain, semalam.
“Adakah lapangan terbang menawarkan kemudahan sama? Lapangan terbang tidak pun menawarkan kerusi roda kepada penumpang.”
Beliau juga mahu maklumat terperinci dan huraian kutipan serta penggunaan PSC, bagaimana pengguna yang tidak boleh menaiki penerbangan, mendapatkan bayaran balik.
Beliau berkata, ini melibatkan jutaan ringgit daripada dana pengguna.
“Mavcom mencadangkan mengutip cukai daripada pengguna untuk menambah kewangan mereka, tetapi mereka tidak mendedahkan kos operasi. Bagaimana sebuah suruhanjaya boleh mengenakan cukai untuk membiayai operasinya?” soalnya.
Ajit menuntut penjelasan daripada Mavcom dan menteri pengangkutan.
Beliau juga mendapati harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi di lapangan terbang, katanya dengan meningkatnya trafik penumpang dan pengunjung, pemilik premis tidak patut mengenakan harga lebih tinggi.
“Lapangan terbang mempunyai pengunjung lebih ramai daripada sesetengah bangunan komersial di bandar, tetapi mereka menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga lebih tinggi. Ini mengaut keuntungan dan Mavcom patut memainkan peranan dalam memastikan harga barangan dan perkhidmatan terkawal.”