
Beliau turut menepis dakwaan sesetengah pihak, termasuk pembangkang kononnya penahanan Isa ialah wayang dirancang Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14, sebaliknya pembangkang yang bermain wayang.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, penahanan Isa tiada kaitan dengan Umno dan BN kerana ia dilakukan SPRM.
“Mana ada wayang kerajaan? Ini tidak pernah wayang, yang wayang adalah pembangkang, kita akur kepada apa yang dilakukan SPRM.
“Kalau ada masalah, dia akan ambil tindakan untuk buat siasatan dan saya percaya Isa akan memberi segala bantuan untuk mereka menyiasat apa yang berlaku.
“Dan memberi kerjasama kepada SPRM bukan bermaksud Isa bersalah, walaupun dia ditahan dalam reman, SPRM sedang menyiasat, jadi dia buat siasatlah,” katanya selepas merasmikan The Park 2 Pavilion Bukit Jalil hari ini.
Kelmarin, Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan, Roslan Md Isa menggesa kerajaan tidak menjadikan penahanan Isa sebagai wayang politik untuk mengaburi mata rakyat menjelang pilihan raya.
“Kita tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang mengawal daripada belakang. Sebab trendnya memang sebelum ini dekat pilihan raya memang ada tangkapan dibuat tetapi selepas pilihan raya kes itu dilupakan sahaja,” katanya pada Selasa.
Isa direman 5 hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara 2014 dan 2015.
Isa yang dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas ditamatkan jawatannya di FGV, ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang kelmarin.
Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London, pada harga £60 juta (RM330 juta), pada 16 Disember 2014, dan sebuah lagi hotel di Kuching, pada harga lebih tinggi daripada pasaran sehingga mengakibatkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.
Susulan penahanan itu, rumah Isa di Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan turut diserbu sejak kelmarin.
Mengulas lanjut, menteri Wilayah Persekutuan itu yang lebih mesra dipanggil Ku Nan berkata, beliau menyokong usaha SPRM dalam menyiasat isu membabitkan Felda.