
Setiausahanya, Lee Fu Haw yang mengetuai pasukan keselamatan di forum itu berkata, penganjur sudah memaklumkan polis mengenai program berkenaan.
“Kami sudah memaklumkan polis dan mereka sepatutnya menjalankan tugas mereka. Saya tidak fikir sebarang jemputan diperlukan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang penganjur forum itu bertanggungjawab memastikan keselamatan hadirin terjamin.
Khalid berkata, penganjur sepatutnya tahu mengenai Akta Perhimpunan Aman yang jelas menyatakan keselamatan hadirin adalah tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, penganjur perlu memeriksa peserta sebelum membenarkan mereka memasuki Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam.
Setakat ini, seramai 13 lelaki ditahan membantu siasatan kekecohan yang tercetus pada forum anjuran Pemuda PPBM.
Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh berkata, tidak adil untuk polis menuding jari ke arah penganjur terhadap kekecohan yang berlaku.
“Tiada penganjur mahu perkara sedemikian berlaku.
“Ia adalah jelas keselamatan dalam mana-mana aktiviti sama ada anjuran Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, ialah tanggungjawab semua orang, termasuk polis,” katanya.
Beliau meminta Khalid tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum siasatan selesai.
Adun Balakong, Eddie Ng berkata, polis bertanggungjawab menjaga keselamatan keseluruhan, bukan hanya di luar dewan.
“Adakah ini bermakna apa-apa yang berlaku (di dalam dewan) bukan tanggungjawab polis?” soal wakil rakyat DAP itu.
“Ketua polis daerah Shah Alam memaklumkan 42 anggota polis berada dalam acara itu. Ini lawak jenaka tahunan.”
Ng berkata, penganjur sudah memberitahu polis forum itu terbuka kepada sesiapa sahaja untuk hadir.
Katanya, ada 150 ahli Pakatan Harapan yang menjaga keselamatan forum itu dan tidak adil untuk menyalahkan penganjur atas kekecohan itu.
“Harap ia tidak dijadikan alasan untuk (menyekat) forum pada masa depan,” katanya.
Setiausaha Antarabangsa Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata, peranan Khalid ialah menyiasat kekecohan itu dan menghadapkan pelaku ke mahkamah.
“Jika beliau tidak bersedia melakukan tugasnya, biar orang lain buat kerja itu,” katanya.
Kekecohan tercetus selepas kira-kira 2 jam forum itu berlangsung petang Ahad lalu, ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985 semasa beliau menjadi perdana menteri.
Sebelum beliau selesai menjawab soalan itu, ada individu mula membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum melontar suar yang dinyalakan ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri.