
Adik lelaki mangsa, Davy, berkata ketidakadilan berlaku apabila suspek utama pembunuhan dibebaskan mahkamah.
Katanya, mereka yang dibebaskan kini bebas merayau di Miri, Sarawak, sedangkan keluarga Bill terus hidup dalam ketakutan dan kekangan wang.
“Kami rasa seperti hilang sebelah sayap, dan terpaksa hidup dengan sedikit yang kami ada.
“Kami masih trauma dengan apa yang berlaku ke atas Bill, di samping sentiasa dalam ketakutan kerana pesalah dibebaskan.
“Di Miri, semua orang tahu pesalah utama mempunyai organisasi gengster. Kami rasa seperti diikuti dan diperhatikan ke mana sahaja kami pergi.”
Davy bercakap kepada pemberita di luar bangunan Jabatan Peguam Negara hari ini.
Beliau hadir bersama balu Bill, Hasykin Hatta, dan 2 anaknya untuk menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Apandi, menekankan sebab mengapa mereka percaya pasukan pendakwa raya gagal memastikan keadilan terlaksana.
Pasukan guaman dari NGO Kamek For Change juga memohon untuk bertemu Apandi agar mereka boleh membentangkan semua bukti yang ada terhadap suspek.
Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Dalam memorandum yang dilihat FMT, peguam keluarga Bill menyatakan semua bukti yang dimiliki pendakwa raya tidak dikemukakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Miri.
Katanya, tindakan itu sebab utama menyebabkan mahkamah memutuskan untuk membebaskan 3 daripada 4 suspek dalam kes itu.
“Kami ingin nyatakan betapa teruknya pendakwaan tersebut dilakukan. Jadi kami merayu kepada peguam negara agar membuka semula kes ini dan memastikan keadilan terlaksana,” kata peguam Murni Hidayah.
Murni seorang wakil Peguam Kamek For Change yang mengendalikan kes itu secara pro-bono.
Pada Jun, Mahkamah Tinggi Miri membebaskan 3 daripada 4 suspek yang dituduh atas pembunuhan Bill. Seorang daripada 3 individu itu merupakan seorang ahli perniagaan Sarawak yang membawa gelaran “Datuk”, dan dikatakan dalang pembunuhan aktivis itu.
Sementara Stephen Lee Chee Kiang, Lie Chang Loon dan Chin Wui Chung dilepaskan dan dibebaskan tanpa pembelaan mereka dipanggil. Mohamad Fitri Pauz, lelaki yang dituduh menembak dalam pembunuhan gaya mafia itu diarah membela diri.
Ketika membebaskan 3 suspek itu, Hakim P Ravinthran berkata pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan itu.
Bill, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, ditembak semasa dalam kenderaan Toyota Hilux miliknya kira-kira 8.30am pada 21 Jun di lampu isyarat persimpangan Lutong berdekatan pasaraya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu.
Pembunuhan pemimpin PKR Miri itu dipercayai berkait dengan tugasnya sebagai pejuang isu sosial, terutamanya tentang hak dan tanah Orang Asal.