
Menteri dalam negeri itu yakin polis akan menyiasat insiden itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau yang sedih dengan keganasan tercetus dalam forum di Shah Alam itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.
“Polis tentunya telah mengambil tindakan mengikut SOP yang ditentukan.
“Polis akan meneruskan siasatan, mengambil tindakan dan melakukan pendakwaan jika terdapat kesalahan sama ada di dalam parti berkenaan atau jika ada unsur-unsur luar yang mengganggu (forum itu),” katanya selepas merasmikan Kongres Pengurusan Air, hari ini.
Beliau mengulas kekecohan yang tercetus di forum Nothing to Hide 2.0 semalam, apabila 2 suar dibaling ke arah pentas, ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.
Sebelum beliau selesai menjawab soalan itu, ada individu mula membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum melontar suar yang dinyalakan ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri.
Polis menahan 3 pemuda berusia 17 hingga 19 tahun yang diserahkan ahli PPBM di forum itu semalam.
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan kekecohan itu berpunca daripada “remaja upahan” yang menyamar sebagai ahli sayap itu dengan memakai baju T palsu PPBM.
Dakwaan itu segera ditepis pemimpin Pemuda Umno, termasuk Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Zahid berkata, forum Nothing 2 Hide 2.0 mempunyai permit dan pihak berkuasa akan terus meluluskan perhimpunan yang menepati syarat Akta Perhimpunan Aman.
“Kita akan mengizinkan sebarang perhimpunan yang diizinkan di bawah Akta Perhimpunan Aman, termasuk majlis yang diadakan sebuah parti pembangkang.”