Mustapa: Kerajaan pusat jamin tambang ECRL berpatutan

Mustapa: Kerajaan pusat jamin tambang ECRL berpatutan

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, ECRL dibina bukan untuk kerajaan mengaut keuntungan, sebaliknya ia demi kemudahan rakyat.

mustapa-mohamed
PETALING JAYA: Kerajaan pusat memberi jaminan harga tambang bagi perkhidmatan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tidak akan membebankan rakyat, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata, seperti projek Transit Aliran Massa (MRT), kerajaan pusat akan memberi subsidi untuk tambang perkhidmatan pengangkutan awam itu yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Beliau berkata, tiada negara di dunia ini yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengaut keuntungan, sebaliknya lebih 50% negara memberi subsidi untuk tambang pengangkutan awam.

“Rakyat akan menikmati kadar tambang berpatutan kerana projek itu bukan untuk kerajaan buat untung, sebaliknya ia dibina sebagai kemudahan bagi rakyat,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan di pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan, semalam.

Beliau berkata, Kelantan adalah negeri pertama di pantai timur yang memulakan projek ECRL dengan proses pengambilan tanah seluas 445 hektar.

Mustapa berkata, kerajaan pusat memperuntukkan RM5 bilion untuk proses pengambilan tanah dan pembinaan landasan sepanjang 70km serta 5 stesen kereta api.

Katanya, ECRL di Kelantan terbahagi kepada 2 fasa, iaitu fasa pertama membabitkan 46km yang akan bermula di sempadan Kelantan-Terengganu dengan pembinaan 3 stesen di Tok Bali, Jelawat, Tunjong.

Manakala fasa ke-2 sejauh 24km dengan 2 stesen akan dibina di Wakaf Baru dan Pengkalan Kubor, di Tumpat.

Kos keseluruhan bagi projek ECRL ialah RM55 bilion membabitkan landasan sejauh 668km yang akan menghubungkan Lembah Klang dan 3 negeri di pantai timur.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.