
Bendahari Umno itu berkata tuduhan itu seolah-olah mahu mengatakan bekas perdana menteri itu cukup bersih semasa era pemerintahannya.
“Tun, janganlah dalam keadaan sekarang setelah meninggalkan Umno menjadi seperti ‘ketam yang menyuruh anaknya berjalan dengan betul’,” kata Salleh di blognya hari ini.
“Ia seolah-olah Tun lupa kepada pandangan sarjana tentang pemerintahan beliau,” tambahnya, dan menyenaraikan 2 buku “Paradoks Mahathirisme: Biografi Intelektual Mahathir Mohamad” oleh Khoo Boo Teik, dan “Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru” oleh John Hilley.
“Baca juga buku lain oleh D.K Mauzy, G.P Means, Harold Crouch, William Case, K.S Jomo dan E.T Gomez,” kata Salleh.
“Hasil kajian mereka tentang pemerintahan Tun bermuara pada rumusan berikut: Tun memerintah dengan prinsip ‘Machiavellian’, mengamalkan penaungan politk serta amalan kronisme dan nepotisme.”
Salleh turut menyenaraikan peristiwa pelaburan berisiko Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong, kerugian Maminco Sdn Bhd untuk mengawal harga timah, kerugian Perwaja Steel, penswastaan Sistem Penerbangan Malaysia dan kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia akibat dagangan mata wang asing.
“Apa terjadi pada semua syarikat dan pelaburan itu? Rugikah? Untungkah? Bermaruahkah? Jika Tun ingat kepada semua perkara ini, tidakkah Tun juga berasa malu dengan apa yang telah terjadi?” soal Salleh.
Pada Selasa, Dr Mahathir menerusi blognya berkata pemimpin kerajaan tidak malu dengan persepsi antarabangsa mengenai pentadbiran negara.
“Dunia panggil mereka pencuri, perasuah, penyangak – tak apa. Senyum sahaja.
“Kerana perbuatan mereka, negara dihina, dinyatakan sebagai antara 10 buah negara yang tertinggi tahap rasuahnya – pun tak mengapa,” kata Dr Mahathir.