Asyraf saran baca mufti WP mengenai status anak luar nikah

Asyraf saran baca mufti WP mengenai status anak luar nikah

Perbezaan pendapat lumrah tetapi isu tidak wajar dibincangkan secara emosi dan negara ada autoriti agama sebagai rujukan, kata timbalan menteri.

Asyraf-Wajdi-Dusuki_zulkifli_baby_600
KUALA LUMPUR:
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyarankan orang ramai membaca artikel Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad mengenai status anak tak sah taraf termasuk anak luar nikah.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata artikel di ruangan “Bayan Linnas” itu mengupas persoalan status anak tak sah taraf secara holistik berdasarkan kepada Al-Quran, sunnah dan pandangan ulama-ulama terkemuka.

Beliau membuat saranan itu kerana tidak mahu masyarakat bercakap mengenai status anak tak sah taraf secara emosi.

“Soal berbeza pandangan itu bagi saya lumrah. Masyarakat perlu dididik bersetuju untuk tidak bersetuju, menerima pandangan berbeza,” katanya ketika ditanya mengenai perbezaan pendapat antara ulama dalam hal tersebut.

“Tapi akhirnya dalam konteks negara kita, kita ada autoriti agama,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara selepas merasmikan program “Diskusi Sah Nikah Sah Nasab dan Pelancaran Buku Kompilasi Kes-Kes Runding Cara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan”.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata kenyataan mufti boleh menjelaskan kekeliruan (khilaf).

“Ada macam-macam pandangan di bawah. Kita ada ustaz segera, ada imam muda, ada imam media sosial. Masing-masing akan beri pandangan tetapi rujuklah pada mufti,” katanya.

Diminta mengenai mengenai rang undang-undang (RUU) baharu Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2014 yang diluluskan malam tadi, Asyraf mengalu-alukan RUU itu.

Menurutnya, pindaan baharu itu memberi hak dan peluang kepada suami atau isteri yang memeluk Islam memfailkan petisyen membubarkan perkahwinan dengan pasangan bukan Islam di mahkamah sivil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.