
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Mahkamah Persekutuan mempunyai hak melakukan tafsiran dan terjemahan mengenai istilah ibu bapa dan ibu atau bapa.
“Ya (bersetuju dengan penukaran agama kanak-kanak secara sepihak oleh ibu atau bapa). Berdasarkan undang-undang, kami terikat dengan perlembagaan dan tafsiran serta peruntukannya.
“Jika ada lakuna (kelompongan) dalam Perlembagaan Persekutuan, kita boleh terus rujuk kepada keputusan mahkamah.
“Hanya mahkamah boleh mentafsir undang-undang dan kita harus terima. Jika tidak bersetuju, bawa semula perkara itu kepada mahkamah agar ia diubah,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Seksyen 88A dalam Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 (Akta 164) yang digugurkan sebelum ini memperuntukkan amalan penukaran agama anak-anak atas persetujuan ibu bapa.
Seksyen 88A menyatakan seorang mualaf dikehendaki mendapatkan persetujuan pasangan mereka sebelum anak boleh memeluk agama Islam mengikut pasangan mualaf.
Bagaimanapun ia dikatakan bertentangan dengan istilah ibu bapa dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana Mahkamah Persekutuan mentafsirkannya sebagai ibu atau bapa.
Sebelum itu, Takiyuddin diasak pemberita bagi mendapatkan pendirian PAS sama ada bersetuju atau tidak untuk meminda Perkara 12(4) supaya istilah ibu bapa (parent) merujuk kepada ibu dan bapa bagi menyelesaikan isu pertukaran agama anak.
“Kita akan tiba ke tajuk itu bila tiba masanya. Ketika ini, kita fokus kepada RUU yang akan dibahaskan pada malam ini,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Bahru sebelum itu menegaskan pendirian PAS yang mahu Kerajaan Persekutuan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 yang disifatkannya sebagai tidak mengikut Perlembagaan.
“Kami sedikit pelik apabila RUU ini dibentangkan menteri di jabatan perdana menteri kerana ia seharusnya dibentangkan menteri dalam negeri.
“Kedua, akta ini kami dapati ia tidak teratur dan bercanggah dengan beberapa Akta Persekutuan. Salah satunya adalah Akta 303,” katanya.
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) khususnya Seksyen 46(2) menyatakan jika ada salah 1 pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh mahkamah.
Kata Takiyuddin, Seksyen 51 dalam pindaan Akta 164 pula menyatakan pembubaran perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam diselesaikan di mahkamah sivil.
“Kedua-duanya bercanggah antara satu sama lain. Kalau nak buat juga, perlu ada pindaan berbangkit. Perlu pinda kedua-dua akta itu sekali,” katanya.