
Siti Mariah Mahmud (Amanah Kota Raja) mengatakan ada dakwaan mengatakan lesen pusat dialisis “dikawal secara kartel” oleh pegawai kementerian yang meluluskan lesen itu, menjadikan sektor pelesenan pusat dialisis menjadi “lubuk emas” buat sebahagian pegawai yang terlibat.
“Aduan ini bukan dari seorang tetapi dari beberapa orang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Soalan asal yang dikemukakan ialah usaha dan kajian yang dilakukan oleh kementerian ke arah menyediakan khidmat dialisis buah pinggang yang lebih berkesan dan mengurangkan kos rawatan.
Menurut Siti Mariah, pengendali swasta mengadu mereka tidak dapat memperbaharui lesen atau terpaksa menungga masa yang lama untuk membaharui lesen.
“Ada sungutan dari pengusaha dialisis yang berkata membaharui lesen sangat birokrasi.
“Masalahnya untuk mendapat temu janji untuk kementerian melawat pusat dialisis sangat susah. Ada pusat dialisis yang beroperasi dalam keadaan tidak berlesen dan tamat tempoh kerana pegawai kementerian tidak dapat memberikan temu janji untuk melawat pusat dialisis,” katanya.
Siti Mariah juga berkata seorang doktor membuka satu pusat dialisis tetapi terpaksa jual perniagaannya selepas gagal mendapatkan lesen.
“Seorang doktor setahun sudah buka pusat dialisis tetapi kehabisan modal dan terpaksa menjual pusat itu kepada orang kaya. Sewa sudah dibayar, peralatan sudah dibeli, tapi lesen tidak dapat, tak boleh beroperasi,” kata Siti Mariah.
Siti Mariah menggesa kementerian menyiasat perkara ini kerana kementerian mengatakan kerajaan perlukan sokongan sektor swasta dalam menyediakan rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang.
“Kita hendak menggalakkan sektor swasta membantu, tetapi melambatkan pemberian lesen,” katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi berkata kementerian akan menyiasat tuduhan yang dibangkitkan.
“Ini tuduhan serius, tentang ‘kartel’ dan susah mendapatkan lesen. Juga, bahawa sesetengah pusat dialisis beroperasi tanpa lesen.
“Kita akan siasat perkara ini,” kata beliau kepada Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Hilmi di Dewan Rakyat berkata lebih kurang 40,000 rakyat Malaysia menerima rawatan haemodialisis dan jumlah itu meningkat sebanyak 6,000 hingga 7,000 setiap tahun.