
Peguam, M Kulasegaran berkata, permohonan semakan kehakiman itu difailkan semalam untuk meminta panel kehakiman baru Mahkamah Rayuan menggunakan bidang kuasa mereka mengetepikan perintah itu.
“Kami juga mahu Mahkamah Rayuan mengesahkan dapatan pembebasan oleh 2 mahkamah lebih rendah di Seremban,” katanya.
Mahkamah Sesyen membebaskan L Subbarau @ Kamalanathan tanpa dipanggil membela diri pada 16 April 2015 dan Mahkamah Tinggi pada 5 September 2016 mengekalkan pembebasan guru berusia 37 tahun itu yang menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Mei lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 menolak pembebasannya dan memerintahkan guru itu membela diri terhadap pertuduhan memiliki secara tidak sah kertas peperiksaan UPSR pada 2014.
Subbarau berdepan 5 pertuduhan memiliki secara tidak sah kertas Matematik 035/1 dan Matematik 015/1; Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037; serta Sains 081 menerusi sebuah telefon pintar.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 malam pada 8 September dan 16 September 2014, di sebuah rumah di Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena, Fasa 4, Seremban, Negeri Sembilan.
Sabit kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, dia berdepan hukuman penjara satu hingga 7 tahun.
Kulasegaran berkata, Mahkamah Sesyen Seremban menetapkan 6 hari bermula 6 Oktober ini untuk Subbarau membela diri.
Katanya, peguam kerajaan mempertikaikan prosiding itu perlu diteruskan hari ini walaupun dimaklumkan mengenai permohonan semakan kehakiman itu.
“Kami bingung dengan sikap tergesa-gesa pihak pendakwaan mahu meneruskan perbicaraan itu. Keadilan bukan hanya untuk negara, tetapi juga tertuduh,” katanya.