
“Rakyat perlu membayar tol setiap kali melalui lebuh raya sama ada dari arah Klang, Shah Alam ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
“Tidak cukup beban membayar tol, pengguna dihidangkan dengan kesesakan lalu lintas dan berdepan tekanan emosi,” kata Ketua Penerangan Umno Shah Alam, Razalee Ahmad, dipetik Sinar Harian.
Razalee ketika membentang usul itu pada mesyuarat perwakilan Umno Shah Alam semalam berkata, beliau yakin Barisan Nasional (BN) berjaya menawan kembali Selangor jika tol tersebut dimansuhkan.
Katanya, plaza tol itu juga digunakan oleh rakyat melibatkan 6 kawasan parlimen iaitu Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar.
Beliau mengakui faham jika perjanjian konsesi tol tersebut belum tamat dan kemungkinan berdepan kerugian, namun pihaknya berbesar hati jika laluan salah satu tol ditutup.
Rakyat Selangor yang tinggal di Klang dan Shah Alam dikenakan tol RM1.10 sehala di Plaza Tol Batu Tiga menuju ke Kuala Lumpur dan RM1 di Plaza Tol Sungai Rasau ke Klang.