E-kad: MP ASEAN gesa Malaysia henti tangkap PATI

E-kad: MP ASEAN gesa Malaysia henti tangkap PATI

Ahli-ahli Parlimen dari beberapa negara Asia Tenggara yang menggesa agar Putrajaya mengamalkan hak asasi manusia lebih baik melawat Malaysia dalam misi mencari fakta dan membuat rayuan agar menghentikan tindakan keras ke atas mereka tiada dokumen sah.

aprh
PETALING JAYA:
Penggubal undang-undang Asia Tenggara hari ini menggesa Malaysia menghentikan tindakan menangkap pekerja-pekerja asing tiada dokumen sah yang setakat ini membawa kepada penahanan lebih 6,000 orang.

Jabatan Imigresen mengesan pekerja-pekerja haram selepas program rasmi untuk mendaftarkan warga asing tanpa izin di bawah program e-kad berakhir 30 Jun lalu.

Angka-angka rasmi menunjukkan 6,038 pekerja tanpa dokumen telah ditangkap dalam serbuan. Dua kumpulan terbesar yang diwakili adalah dari Indonesia dan Bangladesh, dengan jumlah yang banyak juga dari Myanmar, Filipina dan Vietnam.

Ahli-ahli Parlimen dari beberapa negara Asia Tenggara yang menggesa agar Putrajaya mengamalkan hak asasi manusia lebih baik melawat Malaysia dalam misi mencari fakta dan membuat rayuan kepada pihak berkuasa agar menghentikan tindakan keras ke atas mereka yang tiada dokumen sah.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan,” kata ahli Kongres Filipina Emmi De Jesus kepada wartawan di Kuala Lumpur di akhir lawatan.

“Ramai pendatang hidup dalam ketakutan yang berterusan.

“Layanan tidak baik oleh penguat kuasa undang-undang, termasuk penahanan tidak terbatas dalam keadaan yang buruk adalah kebimbangan yang mendesak,” kata beliau dipetik AFP.

Kumpulan Ahli Parlimen ASEAN Untuk Hak Asasi Manusia menggesa semua kerajaan di Asia Tenggara mengamalkan perjanjian serantau yang mengikat pekerja asing, yang bertujuan melindungi pekerja dan hak mereka.

Kumpulan hak asasi migran terkemuka di Malaysia, Tenaganita berkata pihaknya “kecewa melihat sejumlah besar pekerja tanpa dokumen termasuk pelarian diserbu, ditangkap, dihukum, dihantar ke penjara dan pusat tahanan.”

Malah, kumpulan itu mengatakan ramai pendatang yang sebenarnya adalah mangsa majikan dan ejen yang tidak bertanggungjawab yang menuntut jumlah wang besar untuk membawa mereka ke negara itu, kemudian meninggalkan mereka dengan beban hutang besar.

Akhir Jun lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jabatannya akan memulakan operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin selepas tamat tempoh permohonan kad sementara atau “Enforcement Card” (E-Kad).

Mustafar berkata, tangkapan itu tidak terhad kepada PATI, sebaliknya turut membabitkan majikan yang degil mendaftarkan pekerja mereka.

Katanya, PATI yang ditahan akan ditempatkan di depot tahanan sebelum diusir dari Malaysia dan nama mereka disenarai hitamkan.

Majikan yang melindungi PATI boleh didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa denda minimum RM10,000 atau penjara.

Program E-kad yang dikeluarkan secara percuma itu bertujuan mendaftar dan membolehkan PATI mendapat permit kerja selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan KDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.