BN, pembangkang kagum, teruja, pegang-pegang SUV China depan mata

BN, pembangkang kagum, teruja, pegang-pegang SUV China depan mata

Annuar Musa, Teo Kok Seong dan Khalid Samad sepakat mengatakan hiasan dan kemasan Bo Yue memang terkini, dan berharap ia ditawarkan dengan harga yang kompetitif serta penjimatan minyak.

bayou2
KUALA LUMPUR: Ahli politik BN dan pembangkang di Parlimen hari ini bersetuju mengenai satu perkara: kenderaan utiliti rekreasi (SUV) Bo Yue buatan syarikat automotif China, Geely mempunyai reka bentuk menarik dan berpotensi menjadi rebutan.

Ketika berehat seketika selepas seharian membahaskan rang undang-undang di Dewan Rakyat, ahli Parlimen BN dan pembangkang turun ke tapak pameran Geely berhampiran tempat letak kereta kompleks itu untuk melihat sendiri produk Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd., yang membeli 49.9% saham Proton 24 Mei lalu.

Ditemui FMT di tapak pameran, wakil rakyat kedua-dua belah pihak kagum dan teruja dengan SUV 5 penumpang yang direka di Sweden dan ditalakan di United Kingdom itu. Dengan saiz sebesar sebuah Honda CR-V, Bo Yue dipacu enjin 4 silinder 1.8 liter turbo dan dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan.

“Reka bentuknya kompetitif dengan model popular sekarang,” kata Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita. “Bahkan turut mempunyai elemen dari Range Rover.”

Proton Holdings mengumumkan model Bo Yue Jun lalu sejak menjalin usahasama dengan Geely. Dipasang di kilang Proton di Tanjung Malim, Perak, Proton-Geely menyasarkan 280,000 unit bagi pasaran Asia Tenggara. Kereta yang dipamerkan kepada ahli Parlimen Malaysia ini masih belum diketahui harganya.

bayou

Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar sebelum ini berjanji akan menterjemahkan Bo Yue bagi pasaran tempatan. Ia turut menampilkan sistem canggih seperti sistem pengaktifan suara.

Selepas merasai sendiri tempat duduk pemandu Bo Yue, Annuar percaya faktor “harga” penentu sama ada ia akan menjadi pilihan pengguna atau tidak.

“Ia model yang cukup menarik dan saya percaya kalau harganya kompetitif ia mampu menjadi rebutan ramai. Saya percaya, lazimnya kereta daripada China harganya sangat kompetitif,” katanya.

Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong tidak mahu terlepas merasai SUV itu dan berharap agar dapat dipandu uji.

“Kita perlu pandu uji dahulu, jika belum pandu uji, kita tidak akan tahu dengan prestasinya,” katanya. “Secara keseluruhannya, model ini memang model terkini dan yakin ia akan diminati.”

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kagum dengan hiasan dan kemasan Bo Yue, cuma masih tertanya-tanya mengenai penjimatan minyak.

“Dari segi rekaan luarnya ia sangat menarik. Hiasan dalamannya memang terkini. Namun banyak yang saya tidak boleh komen sebab tidak pandu uji lagi, tidak tahu harganya.

“Kita harap harganya rendah, lebih murah dari harga kereta Jepun dan Eropah dan penjelasan dari sudut alat gantinya harus diberikan juga,” katanya.

SUV jadi model pertama dipasang Proton selepas usahasama Geely

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.