
“Kita memerlukan penyelidikan khusus yang mengkaji jumlah yang tepat dan aspek tingkah laku pengembara kalangan wanita, terutama yang bergerak secara solo,” kata Naib Presiden Matta untuk pelancongan luar negara, Cynthia Tan kepada FMT.
“Saya akan katakan 90% daripada mereka menempah dan merancang, semuanya dilakukan dengan sendirinya.
“Kami merasa sukar untuk menampung kumpulan tertentu itu kerana mereka bebas dan melakukan semakan sendiri apabila mereka mahu melakukan perjalanan,” kata beliau.
Beliau menambah, pelancong wanita solo digalak meminta nasihat apabila merancang perjalanan mereka atas sebab-sebab keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Tan mengulas mengenai apa yang dikatakan oleh Marina Mahathir pada majlis pelancaran ZafigoX baru-baru ini, konvensyen yang disediakan khusus untuk pelancong wanita.
Menurut Marina, perjalanan solo boleh menjadi pengalaman yang menakutkan bagi sesetengah wanita kerana mereka terpaksa mengambil pelbagi langkah persiapan awal.
Menurutnya, isu berpakaian, terutama di negara-negara konservatif merupakan salah satu cabaran terbesar bagi pengembara wanita. Satu lagi keprihatinan adalah kemungkinan gangguan seksual.
Tan memberitahu, “mungkin terdapat sedikit perbezaan di antara 10% dan 20% dari tawaran jadual perjalanan biasa disebabkan adat istiadat tertentu untuk menangani kebimbangan keselamatan, tetapi jangan ambil ringan kerana agensi pelancongan dapat memberi anda logistik selamat dan boleh dipercayai, dengan nombor telefon yang betul untuk bantuan dalam kes-kes kecemasan.”
Data Jabatan Perangkaan menunjukkan kemungkinan hubungan antara peningkatan bilangan pelancong wanita solo dengan wanita dewasa yang belum berkahwin di negara ini. Data menunjukkan 13.6% wanita berumur 25 tahun ke atas di Malaysia belum berkahwin pada 2010 berbanding 10.4% pada 2000.
Kadar wanita tunggal berusia 35 hingga 39 di Malaysia juga meningkat dari 7.8% pada 2000 kepada 10.8% pada 2010.
Menyedari kuasa wanita yang semakin meningkat sebagai kumpulan pengguna dalam industri pelancongan, Persatuan Pelancongan Malaysia (Mita) berkata mereka menyambut baik inisiatif kerajaan yang akan memberi manfaat kepada kumpulan terbabit.
“Sebab itulah Mita juga akan melancarkan inisiatif kami sendiri terutama untuk pelancong wanita solo, dengan ‘buddy’ perjalanan bertindak sebagai tuan rumah sepanjang tempoh perjalanan mereka,” kata Presiden Mita, Uzaidi Udanis kepada FMT.
“Kami mendapati keselamatan adalah keutamaan nombor 1 mereka. Hanya kerana sesebuah tempat itu adalah lokasi pelancongan menarik, tidak bermakna pelancong wanita akan pergi ke lokasi itu jika tidak selamat,” katanya.
Beliau menambah, kumpulan sedemikian biasanya akan pergi bercuti untuk mereka membeli-belah, meneroka bandar dan mendapatkan pengalaman menarik.
Tetapi mereka juga cenderung untuk pergi ke destinasi yang mereka anggap sebagai selamat dan biasanya lebih dekat dengan negara asal mereka seperti Thailand.