
Dalam ucapannya, Dzulkifli berkata, beliau secara peribadi sangat menitik beratkan Pulau Pinang kerana ia negeri kelahirannya.
Beliau yang mengkritik Pulau Pinang tidak menandatangani IBR sebelym ini berkata, beliau gembira kerana negeri itu akhirnya bersetuju menandatangani IBR dan “tidak sabar” menunggu Selangor mengikut jejak negeri itu.
“Saya sangat prihatin dengan Pulau Pinang kerana saya lahir di sini. Jadi, saya meletakkan harapan yang tinggi di negeri kelahiran saya. Saya berasal dari Kepala Batas dan saya anak jati Pulau Pinang.
“Malulah jika negeri saya sendiri tidak mengambil ikrar…itu niat sebenar saya,” katanya selepas menyaksikan 67 pegawai kerajaan Pulau Pinang, adun dan ahli Parlimen Pakatan Harapan menandatangani IBR yang diketuai Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Komtar.

Lim dan pegawai negeri melafazkan IBR standard yang disediakan SPRM dengan tambahan 10 langkah integriti Pulau Pinang.
Bagaimanapun, wakil rakyat Umno yang tidak menghadiri majlis itu memberitahu FMT, mereka tidak tahu mengenai penganjuran majlis berkenaan kerana tidak menerima jemputan rasmi.
Disebabkan itu, kata ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, mereka akan mengadakan majlis IBR lain membabitkan semua wakil rakyat Umno.
Sementara itu, Dzulkifli berkata, IBR itu ditujukan kepada pentadbir tertinggi negeri seperti ketua menteri dan exco.
Katanya, SPRM tidak kisah Pulau Pinang memasukkan ikrar integriti sendiri selagi versi asal IBR diguna pakai.
Selangor dilaporkan akan menandatangani IBR itu, tetapi tidak menyatakan tarikhnya.
Baru-baru ini, Lim menafikan kerajaan Pulau Pinang enggan menandatangani IBR, sebaliknya beliau menyalahkan SPRM tidak pernah menghubungi pihaknya untuk berbuat demikian.