Zaid: India Muslim bukan Bumiputera kerana Islam

Zaid: India Muslim bukan Bumiputera kerana Islam

Ahli DAP, Zaid Ibrahim berkata, agama tidak boleh diambil kira untuk memberi status Bumiputera kepada India Muslim.

zahid-india-muslim
PETALING JAYA:
Datuk Zaid Ibrahim berkata, kerajaan tidak boleh mencipta masyarakat berkeistimewaan baru dengan melabelkan mereka sebagai Bumiputera khasnya apabila Perlembagaan Persekutuan sudah memberikan istilah itu kepada pribumi Sabah dan Sarawak.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan, status Bumiputera bukan label dikhususkan kepada umat Islam di negara ini.

“Agama tidak diambil kira (dalam menetapkan status Bumiputera). Orang Asal di Sabah dan Sarawak, mereka ialah Bumiputera.

“Anda tidak boleh mewujudkan kategori baharu, anda tidak boleh menjadikan mereka (kumpulan lain) Bumiputera dari segi undang-undang,” katanya kepada FMT.

Kenyataan itu sebagai tindak balas terhadap janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengkaji permintaan masyarakat India Muslim diiktiraf sebagai Bumiputera.

Zaid berkata, janji Najib bertujuan memancing undi India Muslim menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau menyarankan Najib memberi bantuan kewangan, jika benar-benar mahu menolong India Muslim, bukannya menjanjikan perkara “tidak logik”.

“Jadi, apa yang dilakukan Najib ialah meraih undi dengan menjanjikan keistimewaan Bumiputera khas kepada mereka. Tetapi, di mana hadnya? Bagaimana dengan Cina Muslim dan kaum lain yang memeluk Islam?

“Anda perlu adil kepada semua. Tetapi, inilah cara beliau (Najib) sekarang. Beliau tidak waras.”

Pakar Perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari pula berkata, persoalan memberi status Bumiputera kepada India Muslim tidak timbul kerana Perlembagaan jelas menunjukkan mereka layak sebagai Melayu.

Perlembagaan mentakrifkan Melayu sebagai orang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.

Aziz berkata, istilah Bumiputera tidak wujud dalam Perlembagaan dan digunakan Umno selepas 1970 untuk melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Dari segi hak istimewa, katanya, Perlembagaan Persekutuan merujuk secara khusus kepada hak orang Melayu, Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Anda semua Bumiputera, Najib beritahu India Muslim

India Muslim sebagai Bumiputera: Najib ‘jahil’ perlembagaan, kata pakar

Kami Bumiputera, kata pertubuhan India Muslim

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.