SPRM geledah 7 lokasi siasat salahlaku perlombongan haram bauksit

SPRM geledah 7 lokasi siasat salahlaku perlombongan haram bauksit

Antara kawasan yang digeledah ialah pejabat Pelabuhan Kuantan, pejabat kastam, syarikat yang dikaitkan dengan aktiviti itu dan rumah suspek yang ditahan.

sprm-bauksit
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggeledah sekurang-kurangnya 7 lokasi bagi menyiasat salahlaku berkaitan perlombongan haram bauksit di Kuantan, Pahang.

Menurut sumber, antara kawasan yang digeledah ialah pejabat Pelabuhan Kuantan, pejabat kastam serta beberapa syarikat yang dikaitkan dengan aktiviti itu.

Penggeledahan itu susulan penahanan 10 individu termasuk seorang pegawai kastam berpangkat penolong pengarah semalam.

Pelbagai dokumen termasuk borang berkaitan kastam, penyata bank, dokumen eksport serta komputer riba dirampas untuk siasatan lanjut.

Lokasi lain yang turut digeledah SPRM adalah rumah suspek yang ditahan, dan merampas beberapa dokumen seperti akaun bank bagi tujuan siasatan.

Menurut sumber, SPRM juga sudah menghantar permohonan bagi menyekat sebarang pengambilalihan harta mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM 2009.

Selain itu, sehingga hari ini, seramai 18 orang saksi yang terdiri daripada pemandu-pemandu lori yang mengangkut bauksit haram, pengurus, penyelia syarikat serta kerani syarikat sudah diambil keterangan.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata tindakan seterusnya sedang dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.