
Presiden George Varughese berkata tindakan undang-undang itu akan dilakukan “dalam masa terdekat”.
“Sama ada saman dalam cara semakan kehakiman atau quo warranto terserah kepada peguam tetapi ia tidak berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau memberitahu sidang media selepas ahli yang menghadiri mesyuarat agung luar biasa badan itu secara majoriti mengundi pelantikan Raus dan Zulkefli tidak berperlembagaan.
Seramai 993 ahli menghadiri mesyuarat yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor hari ini.
Varughese berkata Badan Peguam juga berpendirian para hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat tidak sepatutnya mendengar perkara itu kerana mereka berada dalam kedudukan percanggahan kepentingan.
“Oleh itu kami menyeru Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop untuk memberi nasihat kepada Agong di bawah Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik orang-orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi sebagai hakim tambahan untuk tujuan mendengar dan menentukan cabaran undang-undang tersebut,” katanya.
Varughese berkata Ahmad boleh menguatkuasakan Perkara 131A, dibaca bersama Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim paling kanan menjalankan kuasa ketua hakim negara semasa ketidakupayaan atau ketiadaannya.
Semalam seorang bekas hakim menyentuh mengenai cadangan menentukan kedudukan Raus dan Zulkefli kepada FMT.
Beliau berkata akibat ketidakmampuan Raus dan Zulkefli, Ahmad sebagai hakim paling kanan berikutnya dalam badan kehakiman, dapat masuk dan menjalankan kuasa ketua hakim negara dan memberi nasihat kepada Agong.
Varughese berkata panel 7 atau 9 hakim boleh dipanggil bersidang kerana sifat kes itu.
Beliau berkata EGM itu juga memutuskan Badan Peguam tidak akan memanjangkan undangan atau menghadiri acara sosial anjuran mereka dan sebaliknya.
“Resolusi ini serupa dengan resolusi yang dicapai ketika krisis kehakiman 1988.
“Ia satu bentuk bantahan untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam pelantikan yang tidak berperlembagaan. Bagaimanapun, kami secara peribadi tidak menentang Raus dan Zulkefli,” katanya.
Beliau berkata sifat acara sosial itu akan diputuskan Badan Peguam yang menguruskan hal ehwal badan itu.
“Kami akan terus melibatkan diri dalam perkara rasmi seperti menghadiri mesyuarat jawatankuasa peraturan,” katanya.
Empat minggu lepas, kerajaan melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.
Agong, atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada Mei, juga melantik semula Raus dan Zulkefli untuk kekal di jawatan sekarang.
Tempoh perkhidmatan Raus dilanjutkan untuk 3 tahun lagi mulai esok (4 Ogos) sementara Zulkefli akan kekal untuk 2 tahun mulai 28 September.
Raus dijadualkan bersara hari ini manakala Zulkefli pada 27 September selepas mencapai umur persaraan mandatori.
Kebanyakan peguam dan hakim bersara berpandangan hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh kekal di jawatannya selepas mencapai usia 66 tahun dan 6 bulan.
Semalam, Pakatan Harapan menyerahkan memorandum kepada Agung, memohon campurtangan menghalang pelantikan semula Raus dan Zulkefli, yang mereka dakwa tidak berperlembagaan.