
The Telegraph melaporkan projek itu adalah sebahagian daripada Wawasan 2030 Putera Mohammed – sebuah pelan memoden dan mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi dan mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.
Berbanding dasar mewajibkan pelancong asing memakai abaya – pakaian seperti jubah – di pantai, resort mewah itu akan “ditadbir undang-undang sejajar piawaian antarabangsa”.
Bagaimanapun, tidak diketahui jika alkohol yang dilarang di bawah undang-undang Arab Saudi, akan dibenarkan di resort tersebut.
Riyadh menekankan projek itu “akan menjadi persekitaran sangat selamat dan melindungi keselamatan semua pengunjung berdasarkan amalan terbaik antarabangsa”.
“Ia akan menetapkan piawaian baharu untuk pembangunan lestari dan pelancongan mewah yang akan meletakkan Arab Saudi di peta pelancongan antarabangsa,” kata dana pelaburan awam Riyadh.
Kebanyakan pelancong asing boleh terbang terus ke zon pelancongan itu tanpa visa, satu lagi dasar untuk menjadikan resort itu lebih menarik.
Pembinaan resort mewah itu akan bermula 2019 dengan fasa pertama siap menjelang 2022 dan diharap dapat menarik kunjungan sejuta pelancong setahun menjelang 2035.
Undang-undang Arab Saudi ke atas wanita antara paling menindas di dunia, di mana wanita dilarang memandu dan mereka perlu ditemani muhrim dalam sesuatu perjalanan.
Negara yang masih terikat dengan ajaran aliran Wahabi itu turut mewajibkan wanita menutup kulit dan rambut mereka di luar rumah.
Bulan lalu, seorang gadis ditahan kerana memakai skirt mini di sebuah kampung tidak berpenghuni.
Jun lalu, Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz melucutkan gelaran putera mahkota daripada anak saudaranya Mohammed bin Nayef dan melantik anaknya, Mohammed bin Salman menggantikan tempat itu.