Dr M akui tiada bukti RM230 juta dalam akaun Zahid

Dr M akui tiada bukti RM230 juta dalam akaun Zahid

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, pendedahan itu susulan 'laporan mulut' Zahid kepada beliau ketika menjadi perdana menteri pada 1996.

mahathir-zahid
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tiada bukti hitam putih berhubung dakwaannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya, pada 1996.

Pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM itu berkata, pendedahan itu susulan “laporan mulut” Zahid kepada beliau ketika menjadi perdana menteri pada 1996, apabila beliau dilantik sebagai ketua Pemuda Umno.

“Pada masa itu, dia (Zahid) beri laporan mulut kepada saya, saya tidak ambil berat perkara itu.

“Dia bagi penerangan kononnya hasil perniagaan, walaupun saya ragu-ragu, saya tidak ada bukti ketika itu.

“Sekarang ini patut dia jawab dari mana dia dapat wang sebegitu banyak. Peniaga pun tidak ada duit banyak itu, saya tak pernah tengok duit banyak itu,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menerusi blognya sekali lagi menyerang Zahid dengan membangkitkan pengisytiharan harta yang dibuat ketika dilantik sebagai ketua Pemuda Umno, termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.

“Apabila saya tanya dari mana dia perolehi RM230 juta yang ada dalam akaunnya, jawapannya kurang jelas. Jikalau dia boleh ingat, jelaskan dari mana dia perolehi wang begitu banyak,” katanya semalam.

Dalam serangan sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa Zahid pernah bertemu dengannya selepas dilantik sebagai timbalan Najib, selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2015, dalam usaha mendapatkan sokongan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Serangan itu dibuat selepas Zahid mengungkit sejarah Dr Mahathir “berketurunan India”, dan mengumumkan butiran kad pengenalan yang tertera “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.