Pemuda BN gesa kerajaan siasat IPTA terima anugerah palsu

Pemuda BN gesa kerajaan siasat IPTA terima anugerah palsu

Ketua Pemuda BN Pulau Pinang, Hng Chee Wey berkata, institusi awam seperti majlis perbandaran atau universiti awam yang menerima anugerah EBA perlu disiasat kerana membabitkan wang pembayar cukai.

Hng-Chee-Wey-cert-palsu-eba
GEORGE TOWN: Pemuda BN Pulau Pinang hari ini menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi menyiasat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa menerima anugerah daripada sebuah badan meragukan di United Kingdom.

Ia selepas gesaan penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan bagi menyiasat dakwaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membeli anugerah daripada Europe Business Assembly (EBA).

Baru-baru ini, akhbar The Times mendedahkan EBA mendakwa memberi anugerah diragui untuk bayaran tertentu.

“Jika ia adalah syarikat swasta yang membuat keuntungan, saya fikir ia tidak apa kerana mereka membelanjakan wang sendiri.

“Tetapi, jika ia adalah institusi awam seperti majlis perbandaran atau universiti awam, ia adalah wang pembayar cukai.

“Saya menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi menyiasat universiti itu berhubung anugerah yang diterima mereka,” kata Ketua Pemuda BN negeri, Hng Chee Wey kepada FMT.

Beliau juga kecewa dengan tindakan parti pembangkang mendiamkan diri berhubung isu itu, walaupun tahu ramai lagi yang menerima anugerah EBA.

Berdasarkan laporan media tempatan, penerima anugerah EBA lain termasuk 3 IPTA, iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Utusan Malaysia pada 25 Disember 2013 melaporkan Usim, UTeM dan UniMAP menerima anugerah “Universiti Serantau Terbaik” daripada EBA pada 2013,

Media tempatan melaporkan naib canselor mereka dianugerahkan “Pengurus Terbaik Tahunan” pada tahun sama.

Salah seorang naib canselor itu dilaporkan memenangi “Saintis Terbaik” secara berasingan daripada “Sidang Kemuncak Oxford Pemimpin Sains & Pendidikan” EBA.

Seorang lagi naib canselor dilaporkan memenangi anugerah “Nama dalam Sains”.

Seorang pegawai UniMAP yang dihubungi FMT bagaimanapun enggan mengulas dakwaan itu dan FMT masih menunggu jawapan daripada UTeM serta Usim.

The Times melaporkan EBA mengiklankan dirinya sebagai sebuah institusi Oxford untuk menjual “hadiah palsu” seperti “Anugerah Socrates Antarabangsa” dan “Anugerah Peringatan Permaisuri Victoria” dengan harga mencecah £9,300 (RM52,000).

Universiti Oxford bagaimanapun menafikan mereka ada kaitan dengan EBA.

Laporan itu mendakwa EBA dikendalikan ahli perniagaan Ukraine yang menyasarkan kawasan di mana penduduknya mempunyai wang untuk membeli anugerah tersebut.

Kerajaan Pulau Pinang ‘kesal’ terima anugerah palsu

Universiti awam, syarikat, eksekutif GLC juga penerima anugerah EBA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.