Hanya kanak-kanak divaksin daftar tadika, kata menteri

Hanya kanak-kanak divaksin daftar tadika, kata menteri

Subramaniam berkata cadangan itu bukan diskriminasi terhadap kanak-kanak tidak divaksin tetapi sebagai perlindungan kanak-kanak lain di tadika.

Subramaniam_vaksin_600
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengkaji untuk membenarkan kanak-kanak yang divaksinkan sahaja mendaftar di tadika, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata cadangan itu bukan suatu diskriminasi terhadap kanak-kanak yang tidak divaksin, sebaliknya sebagai langkah perlindungan terhadap kanak-kanak lain di tadika.

“Ia masih di peringkat kajian. Keputusan akan dibuat selaras dengan penerimaan rakyat Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai sama ada kerajaan mahu mengenakan tindakan lebih tegas kepada ibu bapa yang enggan memberi imunisasi kepada anak-anak di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pendekatan itu turut diamalkan di Australia apabila mewajibkan kanak-kanak yang divaksinkan sahaja boleh mendaftar.

Dr Subramaniam berkata kementerian juga bekerjasama dengan agensi lain dalam menyediakan maklumat tepat mengenai kepentingan suntikan vaksin.

“Antara yang dilaksanakan adalah mewujudkan kumpulan advokasi imunisasi, menganjurkan forum dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menyediakan maklumat di portal MyHealth untuk rujukan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.