2 pegawai kanan JPJ dipindah ke JPA secara mengejut

2 pegawai kanan JPJ dipindah ke JPA secara mengejut

Pengarah Bahagian Penguatkuasa, V Valluvan dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Yusoff Ayob dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam secara tiba-tiba.

Wan-Ahmad-Uzir-Wan-Sulaiman-V-Valluvan-Yusoff-Ayob
PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikejutkan dengan pemindahan 2 pegawai kanannya ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman yang dipetik China Press mengesahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Datuk V Valluvan ditukarkan ke JPA, selepas pemindahan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Datuk Yusoff Ayob.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu punca pemindahan Valluvan.

“Saya terkejut. Saya dan Datuk Seri Nadzri Siron tidak tahu mengenainya sehinggalah tarikh notis pertukaran itu berkuatkuasa, iaitu pada 21 Julai baru kami tahu tentang hal ini,” katanya kepada akhbar itu.

Ditanya jika ada pegawai lain yang akan ditukarkan, Uzir berkata, mereka tidak tahu jika ada pemindahan lain kerana pertukaran jawatan dikendalikan JPA.

FMT gagal menghubungi Valluvan untuk mengulas pemindahan beliau ke JPA.

Selasa lalu, Yusoff didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan, ketika melakukan pemantauan di Lingkaran Putrajaya, pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016.

Pengakuan bersalah itu dilakukan pegawai khas Yusoff di mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dilaporkan berkata, kes Yusoff dikembalikan ke mahkamah dan akan disebut di mahkamah pada 25 Julai ini.

“Kes itu telah dihantar balik ke mahkamah. Bagaimana anda boleh mengaku bersalah melalui wakil,” katanya pada Jumaat lalu.

Sabtu lalu, Nadzri menafikan kejadian pejabatnya dipecah masuk ada kaitan dengan kes timbalannya didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret kerana menyalahgunakan lorong kecemasan.

Beliau meminta masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan menunggu hasil siasatan polis. Beliau turut menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dakwaan wujud cubaan menjatuhkannya selaku ketua pengarah JPJ.

Pecah masuk pejabat tiada kaitan dengan kes timbalan saya, kata KP JPJ

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.