Pecah masuk pejabat tiada kaitan dengan kes timbalan saya, kata KP JPJ

Pecah masuk pejabat tiada kaitan dengan kes timbalan saya, kata KP JPJ

Datuk Seri Nadzri Siron berkata, beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan wujud cubaan untuk menjatuhkannya selaku ketua pengarah.

nadzri-siron_polis_jpj_600
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron menafikan kejadian pejabatnya dipecah masuk ada kaitan dengan kes timbalannya didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memandu di lorong kecemasan.

“Bagi kes (Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Yusof (Ayob) pula tidak kira siapa yang buat kesalahan perlu diambil tindakan. Kita mesti patuhi peraturan yang ditetapkan,” kata beliau dipetik Bernama.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut dan menunggu hasil siasatan polis.

Nadzri berkata, beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan wujud cubaan untuk menjatuhkannya selaku ketua pengarah.

“Kita serah kepada polis untuk siasat jika wujud dalang di sebalik kejadian pejabat saya dipecah masuk,” kata beliau kepada pemberita pada majlis makan malam dan perasmian Kursus Kecemerlangan dan Kecergasan JPJ di Kuala Nerus malam tadi.

Kata beliau, susulan kes berkenaan, JPJ akan membuat tapisan lebih rapi dan memperketatkan syarat pengambilan pegawai yang akan ditempatkan di Unit Pasukan Tindakan Khas (PTK).

Kata beliau, JPJ juga menggantung dahulu aktiviti PTK.

Susulan kejadian pecah masuk pejabat ketua pengarah JPJ pada 13 Julai lalu, 3 anggota PTK ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes timbalan KP JPJ guna lorong kecemasan didengar semula

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.