C4: Kerajaan punca generasi muda tak kisah rasuah

C4: Kerajaan punca generasi muda tak kisah rasuah

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme menyalahkan kerajaan kerana rakyat menganggap rasuah dibenarkan apabila individu terbabit rasuah tidak dihukum.

Cynthia-Gabriel-rasuah
PETALING JAYA: Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menyalahkan kerajaan sebagai punca kejahilan generasi muda, khasnya pelajar universiti terhadap rasuah.

Aktivis, Cynthia Gabriel yang mengetuai C4 berkata, orang ramai akan menganggap mereka dibenarkan merasuah memandangkan kes rasuah berlaku terang-terangan dengan individu terbabit tidak dihukum.

“Saya salahkan pucuk pimpinan,” kata pengarah eksekutif C4 itu ketika dihubungi FMT.

“Apabila undang-undang dilaksanakan dengan betul dan adil oleh semua institusi tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa, budaya kejujuran dan integriti boleh dipupuk di kalangan generasi muda.”

Beliau mengulas hasil kajian Institusi Integriti Malaysia (Integriti) baru-baru ini yang mendapati generasi muda, khasnya mahasiswa masih cetek pengetahuan mengenai rasuah, dengan sepertiga daripada mereka tidak menganggap pemberian “hadiah” untuk mencapai sesuatu matlamat sebagai 1 kesalahan.

Kajian itu mendapati 35.8% responden tidak menganggap penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan untuk perkhidmatan diberikan sebagai rasuah.

Presiden Integriti, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dilaporkan berkata, kajian itu membimbangkan dan menunjukkan perlunya penilaian semula terhadap peranan pendidikan.

Aktivis belia, Adrian Lim yang sependapat dengan Cynthia berkata, pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang terbabit dalam kegiatan rasuah tidak merasakan mereka perlu memberi penjelasan kepada orang ramai.

“Mesejnya ialah ‘tiada apa yang salah’. Jadi, orang muda membesar dengan memikirkan perbuatan itu tidak salah,” katanya kepada FMT.

Lim berkata, tiada pendidikan atau pengajaran daripada buku teks yang boleh mendidik generasi muda mengenai rasuah kerana apa yang dipelajari di sekolah bertentangan dengan amalan pemimpin negara.

Baru-baru ini, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (CPI) pada 2016 jatuh ke tangga ke-55 daripada 176 negara, dengan skor 49 dalam skala baru dari 0 (sangat rasuah) kepada 100 (sangat bersih).

Skor Malaysia ialah 50 pada 2015 dan 52 pada 2014.

Satu lagi kajian Transparency International yang dikenali sebagai Barometer Rasuah Global menunjukkan 60% responden Malaysia berpendapat tahap rasuah sudah meningkat, manakala 53% lagi merasakan kerajaan tidak efektif dalam memerangi rasuah.

Kajian tahunan itu turut menyimpulkan apabila ahli politik gagal menangani rasuah, rakyat cenderung menjadi sinis.

1 dalam 3 pelajar universiti tak kisah rasuah, menurut kajian

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.