
Timbalan presiden PH itu berkata, barisan kepimpinan gabungan pembangkang itu dibentuk berdasarkan cadangan dikemukakan setiap parti komponennya.
“Yang dicadangkan untuk berada dalam Majlis Presiden dan kemudiannya disenaraikan pemimpin yang diumumkan. Itulah yang diputuskan. Semua cadangan yang datang dari setiap parti diterima 100%,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi PPBM di ibu pejabat parti itu hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga presiden PPBM berkata, tiada kekeliruan berhubung struktur kepimpinan PH yang diumumkan minggu lalu kerana setiap pemimpin mempunyai fungsi dan tanggungjawab masing-masing.
“Saya tak fikir kita keliru…bagi sesetengah pihak tak faham dan sengaja nak kelirukan orang, tapi bagi kami dalam Pakatan Harapan, tak ada sesuatu yang mengelirukan.
“Terutamanya kalau kita merujuk nanti draf perlembagaan yang diputuskan Insya Allah oleh pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak lama lagi.
“Dalam itu setiap jawatan ada fungsi, bukan kata siapa ketua. Walaupun nama-nama disebutkan ketua umum, penasihat, pengerusi, presiden…kami yang telah memutuskan perkara itu tidak langsung terkeliru kerana tanggungjawab itu agak jelas.”
Khamis lalu, PH melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden yang dibantu timbalannya Muhyiddin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).
Empat naib presiden turut dilantik mewakili setiap parti, iaitu Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan gabungan 4 parti pembangkang itu sebagai celaru kerana tidak tahu siapa ketua sebenar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan tindakan pembangkang meletakkan 3 nama sebagai pemimpin teratas dalam pakatan mereka umpama sebuah kapal 3 nakhoda yang bakal tenggelam kerana mempunyai haluan berbeza.