Kit Siang bacakan 2 ayat Quran kepada Apandi

Kit Siang bacakan 2 ayat Quran kepada Apandi

Ia selepas peguam negara itu bertegas tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah dalam menjalankan tugasnya.

limkitsiiang-apandi-alii
PETALING JAYA: Pemimpin DAP Lim Kit Siang hari ini memetik 2 ayat Al-Quran untuk menasihati Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya sentiasa berpegang kepada kebenaran dan melawan kebatilan.

Ia selepas Apandi semalam berkata beliau hanya takut kepada Allah dalam menjalankan tugasnya, sebagai respon kepada kritikan Tun Dr Mahathir pada Isnin yang mendakwa peguam negara itu gagal mengambil tindakan ke atas mereka yang bersalah dalam isu melibatkan 1MDB.

Lim dalam kenyataan hari ini memetik 2 ayat daripada Surah al-Baqarah: “Janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi” (2:60) dan “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya” (2.42).

“Sekiranya Apandi seorang yang takutkan Tuhan, dia tidak boleh menjadi peguam negara untuk sebuah kleptokrasi global,” kata Lim menggunakan istilah yang digunakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam laporan siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana 1MDB.

Lim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum menjawab desakan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk skandal 1MDB, seperti mana RCI yang diumumkan bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia “yang berlaku suku abad yang lalu”.

Isnin lalu, berucap pada ceramah di Shah Alam, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata kerajaan baharu di bawah gabungan itu akan menyoal Apandi.

“Kalau nak tahu peguam negara buat salah atau tidak, bagi kemenangan kepada PH.

“Bila kita menang, kita akan kata… ‘Hey peguam negara, awak buat salah atau tidak sembunyi bukti jenayah?’ Pada masa itu dia akan tahu,” kata bekas perdana menteri itu.

Dalam responnya, Apandi berkata beliau tidak ada apa-apa untuk disembunyikan.

“Saya tidak takut sesiapa pun termasuk Dr Mahathir. Saya tidak tahu mana-mana orang, tetapi saya takut Allah.

“Apa sahaja yang saya buat sebagai peguam negara semuanya berdasarkan kepada fakta sedia ada yang terkandung dalam kertas siasatan. Tiada apa untuk disembunyikan,” katanya.

Apandi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada Julai 2015, ketika hangat siasatan khas terhadap 1MDB melibatkan bekas peguam negara itu.

Tahun lalu, Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB, tetapi berkata fail itu belum ditutup.

Apandi: Saya hanya takut Allah, tak sembunyi tentang 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.