
Simren Singh, seorang ahli perniagaan, juga berkata beliau menerima 2,000 ancaman terhadap nyawanya di media sosial selepas 2 video beliau “bersemuka” dengan 2 pengguna jalan raya lain dalam kemalangan yang tular itu.
Bercakap kepada FMT, Simren berkata dalam 2 kejadian itu, keretanya dilanggar dari belakang oleh pengguna jalan raya lain. FMT sudah menghubungi polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya untuk komen.
Kemalangan pertama
https://www.facebook.com/frensofbn/videos/10155134513194998/
Simren berkata dalam kejadian pertama yang berlaku pada Januari, beliau sedang memandu kereta pacuan 4 rodanya di Sungai Besi apabila sebuah kereta sedan mewah melanggar keretanya dari belakang.
“Bila kamu tengok video itu, ia bermula selepas kereta saya dilanggar dari belakang. Sebab itu kereta saya berada di depan kereta mereka.
“Saya berhentikan kereta saya tetapi mereka cuba melarikan diri jadi saya memecut, memintas mereka dan menghentikan kereta saya di depan kereta mereka.”
Simren berkata selepas menghalang kereta itu, beliau keluar dari keretanya dan mengambil gambar kereta itu kerana beliau perlukan butiran sekiranya beliau perlu membuat laporan polis.
“Kerana marah, saya tunjuk jari tengah dan saya kembali ke kereta saya dan beransur pergi,” katanya, dan menambah kereta itu milik syarikat dan kerosakan itu perlu dibaiki.
Simren berkata selepas kereta diperiksa, beliau mendapati ia mengalami kerosakan kecil lalu mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis.
“Kalau orang yang memuatnaik video itu percaya saya seorang pembuli jalan raya, mengapa mereka tidak buat laporan polis terhadap saya? Setakat yang saya tahu, tiada laporan polis mengenai kejadian itu dibuat terhadap saya.”
Kejadian kedua
https://www.facebook.com/frensofbn/videos/10155134513179998/
Enam bulan kemudian, Simren berkata beliau sekali lagi dilanggar dari belakang ketika memandu di Jalan Genting Klang.
Katanya kali ini beliau berada di laluan tengah dan menyalakan lampu isyarat kenderaan kerana mahu ke laluan kanan.
“Kira-kira selepas 15 saat, kereta saya dilanggar dari belakang. Saya turun untuk periksa keadaan kereta dan pemandu lain itu menghamburkan kata-kata kesat terhadap saya. Saya perasan cukai jalannya sudah luput, jadi itu suatu kesalahan.
“Saya tak lagi boleh tahan apabila dimakinya jadi saya jerit minta dia hentikan perbuatan itu. Saya ajak dia ke balai polis terdekat untuk membuat laporan kerana saya perlukan laporan itu untuk tuntut insurans.”
Simren berkata beberapa orang pengguna kemudian datang menenangkan keadaan. Beliau menambah seorang individu di situ memintanya supaya beredar kerana “tidak selamat”.
“Sekarang pengguna media sosial mendakwa saya langgar keretanya, tapi itu tidak benar. Saya pergi kerana mereka ramai dan saya tidak mahu dibelasah.
“Selepas beredar dari situ saya buat laporan polis dengan polis trafik mengenai kemalangan itu.”
Simren berkata pemandu lain itu membuat laporan polis terhadapnya di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dan dengan itu mengakibatkan kerosakan sebanyak RM25.
“Jadi saya buat laporan balas di Balai Polis Setapak di bawah seksyen yang sama.”
Simren berkata beliau tidak akan berputus asa mendapatkan keadilan walaupun menerima 2,000 ancaman terhadap nyawanya.
“Ramai orang fanatik di luar sana yang mahu cederakan saya. Saya akan buat laporan mengenai ancaman itu tidak lama lagi.”