Pemimpin Pemuda Amanah mengaku tak bersalah kunci pagar SPR

Pemimpin Pemuda Amanah mengaku tak bersalah kunci pagar SPR

Majistret membenarkan Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin.

Shazni-Munir-Mohd-Ithnin-spr-court
PUTRAJAYA: Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengunci pintu pagar ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 23 Mei lalu.

Shazni dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mengganggu ketenteraman awam dengan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM400.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan Shazni diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Izzat Fauzan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 tetapi peguam tertuduh, Syahredzan Johan memohon mahkamah mempertimbangkannya kerana ia bukan kesalahan serius.

“Denda maksimum untuk kesalahan ini hanyalah RM400, jadi untuk pihak pendakwaan meminta RM5,000 adalah tidak berkadar dengan hukuman maksima.

“Shazni juga adalah aktivis politik, maka risiko untuknya melarikan diri tidak ada. Kami merasakan jaminan sebanyak RM500 hingga RM800 (memadai), memandangkan latar belakangnya dan juga kes,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, Pemuda Pakatan Harapan mengunci pintu gerbang ibu pejabat SPR di Putrajaya sebagai simbolik bantahan selepas suruhanjaya itu enggan menerima memorandum mereka.

Memorandum itu bertujuan menggesa SPR menarik balik larangan pengedaran salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik seperti diumumkan Setiausaha SPR, Abdul Ghani Salleh pada 26 April lalu.

Susulan itu, Shazni direman 4 hari bagi membantu siasatan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.