
Bekas perdana menteri itu berkata, kerjasama dengan negara luar boleh dilakukan dengan syarat negara itu tidak terlibat dalam peperangan, dan ini syarat yang gagal dipenuhi Riyadh.
“Sepatutnya pilih untuk kerjasama dengan negara yang tidak terlibat dalam peperangan. Ini hendak bekerjasama dengan negara yang jelas terlibat dalam peperangan,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH).
“Kurang sesuai,” kata Dr Mahathir, yang merupakan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana Malaysia pernah mengadakan persidangan antarabangsa bagi mengharamkan peperangan.
Beliau ditanya mengenai rancangan bersama Putrajaya dan Riyadh untuk menubuhkan sebuah pusat baharu.
Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan tanah seluas 16 hektar untuk membina “pusat keamanan” itu, yang dinamakan sempena raja Arab Saudi sekarang.
Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) diilhamkan selepas kunjungan pemerintah Arab Saudi itu ke Malaysia pada Mac lalu, serta penyertaan Najib dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Arab Saudi kini terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan di Yaman membantu regim itu, yang mengundang kecaman pejuang hak asasi kerana menyebabkan kematian dan kesengsaraan orang awam.
Baru-baru ini, FMT melaporkan Liga Muslim Dunia (MWL), sebuah organisasi dibiayai sepenuhnya Riyadh untuk mempromosi imej Islam rejim Saudi di seluruh dunia, turut terlibat dengan KSCIP.
Bagaimanapun, sebuah laporan oleh sebuah badan pengkaji Britain, mengaitkan MWL dengan ideologi ekstremis di sebalik kumpulan militan seperti Al-Qaeda, Taliban dan IS.
Rancangan kerjasama dengan Arab Saudi untuk melawan keganasan turut dipersoalkan seorang pakar keganasan berpangkalan di Washington.
“Kerjasama dengan Arab Saudi untuk membentuk pusat Islam sederhana adalah melucukan. Tidak ada yang sederhana mengenai Arab Saudi,” kata Dr Zachary Abuza, profesor di National War College, Washington, yang mempunyai pengalaman luas mengkaji konflik di Asia Tenggara. Menurutnya, Arab Saudi dan kumpulan seperti IS mempunyai latar belakang fahaman yang sama, malah Riyadh tidak pernah mencabar ideologi yang menjadi pegangan kumpulan militan itu.
‘Keganasan tak mengenal fahaman’
Seorang pemimpin PAS berkata tidak menjadi masalah melibatkan Arab Saudi dalam memerangi keganasan.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS, Khalil Abd Hadi berkata ia perlu di kalan tuduhan keganasan ke atas Islam.
“Ia tidak berasas, bahkan tuduhan menghidupkan Islamofobia berlaku di seluruh pelusuk dunia.
“Keganasan tidak mengenal agama dan fahaman sama ada Kristian, Wahabi, Salafi dan lain-lain. Sebab itu keganasan disandarkan kepada Islam adalah tidak benar,” katanya, merujuk aliran yang kerap dikaitkan dengan agamawan dan kerajaan Arab Saudi.
Aliran Wahabi yang kontroversi itu berdasarkan terjemahan harfiah teks Islam dan dikaitkan secara rapat dengan banyak cabangnya yang lebih militan termasuk Taliban, Al Qaeda dan terbaru IS.
Tetapi Khalil berkata kerjasama di antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat bukanlah kerjasama murni.
“Masalah berlaku dalam dunia Islam mesti diselesaikan bersama negara Islam, bukannya melibatkan pihak luar untuk selesaikan masalah. Malangnya, ketika ini perkara inilah yang berlaku,” katanya.
‘Lucu’ Malaysia kerjasama dengan Saudi lawan keganasan, kata pakar AS
Penganjur ‘pusat keamanan’ Saudi di Putrajaya dikaitkan dengan ekstremisme