Bapa beri lambaian terakhir sebelum terjun dari tingkat 4

Bapa beri lambaian terakhir sebelum terjun dari tingkat 4

Polis dimaklumkan bapa kepada 7 anak itu berdepan masalah kewangan dan baru-baru ini pemberian wang zakat bulanan sebanyak RM300 dihentikan.

suicide-jump
GEORGE TOWN:
Seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas terjun dari tingkat 4 sebuah rumah pangsa di Bukit Mertajam, semalam.

Polis mengesyaki tindakan bapa kepada 7 anak itu ada kaitan dengan masalah kewangan dihadapinya.

Dalam kejadian 11.40 malam Sabtu itu, lelaki terbabit melambai kepada anak perempuannya berusia 15 tahun sebelum terjun dari bangunan berkenaan.

Polis berkata, mayatnya ditemui di tempat letak kereta rumah pangsa itu.

Dia dikenal pasti sebagai Mohd Irwan Omar. Dia bersama isterinya berusia 37 tahun yang berasal dari Kluang, Johor mempunyai 7 anak berusia 2 hingga 17 tahun dan bakal menimang seorang lagi cahaya mata.

Seorang daripada anak Irwan memberitahu penyiasat, bapanya berdepan kesukaran membayar sewa rumah dan perbelanjaan lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa baru-baru ini menghentikan pemberian wang zakat bulanan sebanyak RM300 kepada keluarga itu.

Isterinya memberitahu polis, suaminya membayar RM250 untuk rumah seluas 660 kaki persegi itu.

Beliau berkata, penganggur itu mempunyai 7 rekod jenayah lampau, 6 daripada berkaitan dadah.

Katanya, Irwan dan keluarganya tinggal di Jawi, Nibong Tebal, sebelum berpindah ke Bukit Mertajam baru-baru ini.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat Irwan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.