
“Nama Malaysia jadi buruk kerana perdana menteri dituduh mencuri,” katanya semasa diperiksa balas peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Beliau berkata Umno yang merupakan parti dominan dalam kerajaan bukan lagi seperti dahulu.
“Umno hari ini Parti Najib,” kata bekas perdana menteri itu di kandang saksi.
Beliau memberitahu mahkamah yang padat dengan pemerhati yang beliau cuba menjatuhkan Najib sejak 2014.
Beliau tampil hari ini dalam kes saman anaknya, Datuk Seri Mukhriz, terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.
Pada 3 Mei tahun lepas, Mukhriz memfailkan saman itu ke atas 4 kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tengku Sariffuddin pada 15, 20, 23 dan 26 April.
Mukhriz mendakwa kenyataan fitnah Tengku Sariffuddin yang disiarkan itu memberikan gambaran Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mempersiapkannya untuk menjadi perdana menteri.
Dalam pembelaannya, Tengku Sariffuddin berkata beliau tidak pernah memfitnah Mukhriz dalam mana-mana kenyataan medianya, yang hanya mahu menjelaskan isu dan berita tidak benar mengenai Najib.
Tengku Sariffuddin berkata kenyataan itu diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat dan tanpa niat jahat.
Kenyataan medianya dibuat atas kapasiti rasmi untuk mengelakkan khabar angin atau tuduhan politik terhadap perdana menteri.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata beliau adalah naib presiden Umno ketika perdana menteri ketika itu Tun Hussein Onn melantiknya sebagai timbalan perdana menteri pada 1976.
“Apabila (Datuk Seri) Anwar Ibrahim disingkir, saya (sebagai perdana menteri) melantik naib presiden Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalan saya dalam kerajaan,” katanya kepada mahkamah.
Dr Mahathir menjelaskan perdana menteri, yang juga presiden Umno, ada budi bicara untuk melantik seorang pemimpin kanan parti sebagai timbalan dalam kerajaan.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memaklumkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata Mukhriz akan menggulung kesnya dengan menampilkan 2 saksi.
Pendengaran ditangguh ke 21 September di mana Tengku Sariffuddin akan menyerahkan bukti.