Bebas: Sebat di tempat awam salah, tidak adil

Bebas: Sebat di tempat awam salah, tidak adil

Aktivis pro-sekular Azrul Khalib berkata mempercayai pendekatan menghukum dan berlebihan akan mencegah kesalahan moral dan agama adalah simplistik dan salah.

azrul-seba
PETALING JAYA:
Bebas menyeru kerajaan Kelantan jangan obses dengan hukuman dan menghukum orang lain.

Merujuk kepada pindaan kepada undang-undang syariah negeri yang membolehkan hukuman sebat di khalayak, Azrul Mohd Khalib dari kumpulan aktivis pro-sekular itu berkata mereka bimbang hukuman seperti itu “bukan contoh rahmat dan belas kasihan Islam”.

“Sebat di khalayak tidak memaparkan kebenaran dan keadilan atau contoh rahmat dan belas kasihan Islam.

“Mereka yang menyeru perundngan syariah dipertingkatkan termasuk cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355, kononnya untuk menegakkan maruah Islam, sekadar memahami konsep dan pentadbiran keadilan sebagai kesalahan dan hukuman, terutamanya meningkatkan tahap hukuman,” katanya.

Beliau menambah mempercayai pendekatan hukum dan berlebihan akan mencegah kesalahan moral atau agama sebagai pemikiran yang ketinggalan.

“Meningatkan tahap hukuman kerana mempercayai ia akan mencegah atau menghalang orang daripada melakukan kesalahan moral adalah simplistik dan salah.

“Tidak ada kajian terbukti atau bukti sokongan ditunjukkan untuk menyokong pemikiran itu.

“Dakwaan kononnya sebatan di khalayak hanya untuk mendidik dan bukan untuk menyakiti menunjukkan pembuat dasar tidak faham kesan tayangan penghinaan dan voyeurisme secara terbuka itu,” kata Azrul.

Beliau turut mengulas pindaan membenarkan penggunaan gari oleh pegawai penguatkuasa agama di Kelantan.

“Penggunaan gari ke atas suspek adalah satu serangan dan menyalahi undang-undang melainkan jika ada kewajaran.

“Kami dengar tiada kewajaran atau sebarang hujah mengenai keperluan gari, yang biasanya digunakan penguatkuasa undang-undang profesional, kini digunakan pihak berkuasa agama untuk menguatkuasakan undang-undang agama dan moral,” katanya.

Beliau turut bersedih pihak berkuasa berkaitan di negeri itu tidak faham isu penguatkuasaan undang-undang, jenayah dan impak hukuman sebegitu.

“Orang-orang seperti ini tidak seharusnya diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk mencipta dan mentadbir undang-undang, terutama mereka yang mengenakan pengawasan moral.”

Azrul juga memberi amaran tentang imej negatif sebat di khalayak kepada Malaysia, mengambil contoh Aceh di Indonesia di mana undang-undang dilaksanakan dan sebatan di khalayak menjadi suatu pertunjukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.