Universiti Singapura nombor 1 di Asia Pasifik

Universiti Singapura nombor 1 di Asia Pasifik

Sementara semua universiti dari Malaysia ditempatkan dari tangga 130 ke bawah, menurut ranking terkini Times Higher Education.

nus
PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dinobatkan sebagai universiti terbaik di rantau Asia Pasifik, menurut ranking terkini dikeluarkan hari ini oleh majalah Times Higher Education (THE) yang menilai prestasi dan pencapaian universiti sedunia.

Tempat kedua diduduki Universiti Peking (China), diikuti Universiti Melbourne (Australia) dan Universiti Tsinghua (China).

Sebuah lagi universiti Singapura, Nanyang Technological University, mendapat tempat ke-5.

Kajian THE itu menilai universiti di 38 negara di Asia Timur, Asia Tenggara dan Oceania, dan menggunakan 13 penunjuk yang diubah suai bagi mencerminkan universiti di rantau itu.

Editor THE, Phil Baty berkata NUS mempunyai persekitaraan pengajaran dan penyelidikan yang mempunyai pandangan antarabangsa.

NUS ditubuhkan sebagai sekolah perubatan pada 1905, tetapi kini mempunyai 17 fakulti dan merupakan antara universiti terulung di Asia. Ia menjadi Universiti Kebangsaan Singapura hasil gabungan Universiti Singapura dan Universiti Nanyang pada 1980.

Sementara itu, ranking THE kali ini meletakkan Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia di tempat 121–130, Universiti Teknologi Petronas (131-140), Universiti Sains Malaysia (141-150), Universiti Kebangsaan Malaysia (151-160).

Manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia masing-masing di bawah tangga 200.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.