
Jumaat lepas merupakan tarikh tutup bagi majikan memohon Kad Penguatkuasaan atau E-Kad untuk pekerja tanpa permit sah.
Akhbar Nepal, The Himalayan Times, melaporkan kementerian luar negeri negara itu mengarahkan kedutaan di Kuala Lumpur untuk sentiasa berhubung dengan pusat tahanan bagi membantu membawa pulang pekerja Nepal yang terkesan.
Ia memetik setiausaha bersama kementerian, Durga Bhandari, sebagai berkata kedutaan dan atase buruh di Malaysia diminta menguruskan tiket penerbangan untuk tahanan Nepal yang tidak berkemampuan.
Akhbar itu berkata kira-kira 500,000 warga Nepal bekerja di Malaysia. Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) menganggarkan 40,000 daripadanya bekerja tanpa permit sah.
Ia menambah lebih 100 warga Nepal ditahan, bersama dengan warganegara lain, dalam operasi besar-besaran pihak berkuasa Malaysia menahan pendatang asing tanpa izin pada tengah malam Jumaat.
Sebelum pembanterasan dilancarkan, Presiden Nafea Bimal Dhakal memberitahu akhbar itu ramai pekerja menetap secara haram selepas tempoh permit mereka tamat.
Beliau berkata agensi pekerjaan yang membawa pekerja tanpa permit sah juga menjadi sasaran imigresen.
“Pada awalnya, syarikat pengambilan pekerja di Malaysia dengan mudah mengambil pekerja yang sudah luput permit dan tiada halangan untuk pekerja tanpa permit menghantar wang ke negara asal,” kata Dhakal.
Beliau berkata tren pekerja terus menetap di Malaysia mengurangkan permintaan untuk pekerja baharu sejak kebelakangan ini.
Akhbar itu turut memetik seorang pakar pekerjaan asing sebagai berkata langkah kerajaan Malaysia akan menjejaskan kiriman wang masuk ke Nepal jika warga Nepal tanpa permit dihantar pulang.
Imigresen melancarkan operasi terhadap pekerja asing selepas memberi tempoh kepada majikan untuk memohon E-Kad untuk pekerja yang tidak mempunyai permit sah bermula 15 Februari lalu.
Pada 30 Jun baru-baru ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali kecewa dengan sikap majikan yang tidak memohon.
Imigresen memberi amaran ia akan menangkap pekerja tanpa permit dan akan mendakwa majikan mereka di bawah Seksyen 56(1) dan 55B Akta Imigresen 1959/1963. Ini termasuk mereka yang mengambil pendatang dengan pas pelajar sebagai pekerja.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggarkan hanya 23% pendatang tanpa izin memohon E-Kad.