
Sehubungan itu menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semua calon pegawai perubatan dilantik dengan kelonggaran syarat lulus BM semasa lantikan kontrak perlu memenuhi syarat lulus subjek itu bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan tersebut.
“Oleh itu, seperti juga lantikan tetap bagi lain-lain skim perkhidmatan dalam sektor perkhidmatan awam, calon yang memohon lantikan secara tetap sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan perlulah lulus BM di peringkat SPM.
“Malahan terdapat beberapa skim perkhidmatan lain yang meletakkan syarat lebih tinggi iaitu kredit BM sebagai syarat lantikan.
“Justeru, semua calon pegawai perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran syarat lulus BM semasa lantikan kontrak perlulah memenuhi syarat lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan,” kata beliau menerusi kenyataan media.
Semalam, FMT melaporkan keluhan beberapa graduan yang terkejut dengan arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang pihaknya perlu lulus subjek BM peringkat SPM.
Mengikut arahan dikeluarkan, graduan perubatan perlu lulus BM SPM untuk diterima menganggotai jawatan tetap kerajaan.
Menurut graduan-graduan terbabit, kelayakan BM O-Level atau Bahasa Kebangsaan A (BKA) sebelum ini diterima untuk kemasukan ke perkhidmatan awam, tetapi mulai 1 Januari tahun ini, mereka yang berkelayakan itu ditolak tanpa sebarang pengecualian.
Para graduan diberitahu supaya memperoleh sijil SPM jika mereka mahu jawatan tetap kerajaan.
Salah seorang yang terlibat, yang enggan namanya dipetik berkata dia memohon kepada SPA untuk tujuan penempatan pada September tahun lalu selepas memperoleh kelulusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Pada bulan Disember, seorang pegawai SPA memberitahu, saya tidak melalui proses pemeriksaan kerana saya tidak mempunyai kelulusan BM peringkat SPM atau setara,” katanya.
Pegawai itu memberitahunya bahawa dari Januari 2017, kertas BKA tidak diterima sebagai alternatif kepada BM SPM untuk pengambilan ke dalam perkhidmatan awam.
Mengikut e-mel yang diterima daripada Kementerian Kesihatan, peraturan keperluan BM SPM untuk memasuki perkhidmatan awam sebagai pembantu perubatan telah dilonggarkan pada tahun 2003 dan BM O-Level diterima, tetapi pengecualian itu dikeluarkan mulai tahun ini.
“Sekiranya terdapat terlalu ramai graduan dan mereka mahu mengehadkan bilangan, mereka perlu membuat perancangan. Kami tidak diberi notis,” katanya.
Ketika dihubungi, SPA berkata ia hanya melaksanakan keperluan yang ditetapkan JPA, di mana ia berdasarkan kepada keputusan Kementerian Kesihatan.
Dalam kenyataan media hari ini, Noor Hisham berkata, pada 23 Februari lau, JPA telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat kelayakan lulus BM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan pegawai perubatan.
Katanya, semua graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak sebagai pegawai perubatan untuk menjalani latihan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib selama 2 tahun adalah diberi kelonggaran kepada syarat lulus BM.
Malah kata beliau, BM adalah bahasa kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi persekutuan iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Jelas beliau, Kementerian Kesihatan mengambil maklum calon persendirian yang mendaftar untuk peperiksaan SPM kali pertama boleh memohon kelulusan daripada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil BM sebagai mata pelajaran tunggal iaitu bagi memenuhi syarat perkhidmatan bagi lantikan ke perkhidmatan awam tanpa perlu menduduki subjek-subjek SPM yang lain.
“KKM akan berbincang selanjutnya dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Lembaga Pendidikan bagi melicinkan proses ini bagi calon persendirian yang terlibat,” kata beliau.
Graduan perubatan terkejut arahan ‘kembali ke sekolah’, lulus BM