Sarawak nafi klinik haiwan kerajaan ditutup kerana masalah bajet

Sarawak nafi klinik haiwan kerajaan ditutup kerana masalah bajet

Timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah Embas berkata, dakwaan klinik veterinar kerajaan ditutup kerana pemotongan bajet tidak benar.

Douglas-Unggah-Embas-veterineryclinic2
KUCHING: Kerajaan Sarawak menolak dakwaan klinik veterinar awamnya ditutup kerana pemotongan bajet, sebaliknya menjelaskan terdapat sebab-sebab lain mengapa tindakan sedemikian diambil.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak pernah mempunyai sebuah klinik haiwan awam di daerah Sekama tetapi ia telah ditutup pada 1990-an ekoran kemunculan klinik-klinik veterinar swasta.

“Amalan selama ini adalah klinik veterinar dikendalikan oleh swasta,” kata beliau kepada FMT hari ini.

“Jadi, dakwaan bahawa kami telah menutup (klinik veterinar kerajaan) ekoran pemotongan bajet adalah tidak benar.”

Beliau merujuk dakwaan Dr Kelvin Yii, pembantu khas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang mendakwa kerajaan menutup semua klinik veterinar di negeri itu disebabkan kekangan bajet.

Katanya, jangkitan rabies atau penyakit anjing gila di daerah Serian menunjukkan kepentingan kemudahan itu.

“Disebabkan tahapnya yang serius, adalah penting wabak ini ditangani dengan baik. Saya menggesa penubuhan klinik veterinar kerajaan di bandar berbeza supaya orang ramai mempunyai akses lebih murah dan baik kepada perkhidmatan klinik haiwan untuk memastikan penyakit seperti ini dapat dicegah,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, 3 kanak-kanak termasuk 2 beradik disahkan dijangkiti rabies di Serian.

Katanya, Kementerian Kesihatan menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai kejadian kluster jangkitan rabies dari Hospital Umum Sarawak di Kuching pada 22 Jun lalu.

Mangsa berusia 4, 6 dan 7 tahun yang dimasukkan ke wad rawatan intensif kanak-kanak, pada awalnya disyaki menghidap penyakit viral encephalitis dan menunjukkan tanda dan gejala seperti demam, kadang-kala bersikap pelik, agresif dan takut kepada air.

Pengarah Bahagian Veterinar Jabatan Pertanian Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud berkata, pihaknya sudah menyediakan perkhidmatan ambulatori untuk haiwan peliharaan milik penduduk di kawasan luar bandar.

Ini kerana, katanya, kerajaan menyedari penduduk di luar bandar mungkin berdepan kesukaran mendapat akses kepada klinik veterinar swasta.

“Tetapi (perkhidmatan itu disediakan) hanya apabila ada permintaan untuknya.”

Beliau berkata, selepas pihaknya dimaklumkan mengenai 3 kes rabies semalam, mereka mula bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Sarawak untuk melaksanakan langkah kawalan dan mengurangkan jangkitan itu.

Ia termasuk memaklumkan penduduk di kawasan terjejas mendapatkan rawatan segera jika mereka digigit anjing dan memastikan haiwan peliharaan mereka berada dalam kawasan rumah masing-masing.

“Pengawasan epidemiologi dilakukan dalam lingkungan 6km dari kawasan jangkitan untuk memantau dan mengawal kemungkinan rabies merebak ke kawasan lain.

“Selain itu, kawalan ke atas kemasukan haiwan di semua sempadan oleh Bahagian Veterinar akan diperketatkan untuk mencegah sumber baru jangkitan rabies.”

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan kempen kesedaran rabies melalui media cetak dan elektronik.

3 kanak-kanak di Sarawak dijangkiti penyakit anjing gila

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.