Pedra Branca: Singapura bantah permohonan Malaysia

Pedra Branca: Singapura bantah permohonan Malaysia

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura berkata, permohonan Malaysia untuk ICJ membuat interpretasi terhadap penghakiman pada 2008 menimbulkan kebingungan kerana ia dianggap tidak perlu dan tanpa merit.

Pedra-Branca
SINGAPURA: Singapura akan membantah permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 dalam kes berhubung kedaulatan ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh), Middle Rocks (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) berkata, permohonan Malaysia bagi interpretasi yang difailkan semalam, adalah tambahan kepada, dan berasingan daripada permohonan yang difailkan pada 2 Februari 2017 bagi semakan penghakiman ICJ.

“Pada pandangan kami, penghakiman ICJ adalah terang dan jelas. Permohonan Malaysia untuk ICJ membuat interpretasi terhadap penghakiman menimbulkan kebingungan.

“Oleh itu, Singapura akan membantah permohonan Malaysia bagi interpretasi yang kita anggap sebagai tidak perlu dan tanpa merit,” kata MFA.

Kementerian itu berkata, Singapura akan memfailkan Pemerhatian Bertulis mengenai permohonan interpretasi dalam masa terdekat.

“Sebagaimana kami yakin tentang kes kami mengenai permohonan semakan, kami juga yakin bersandarkan alasan kukuh untuk membantah permohonan terbaharu Malaysia untuk interpretasi,” kata MFA.

MFA berkata, Singapura komited menyelesaikan isu ini mengikut undang-undang antarabangsa.

Dalam permohonan yang dinyatakan ICJ dalam kenyataan media pada Jumaat, Malaysia meminta mahkamah di The Hague itu memutuskan dan mengisytiharkan perairan di sekitar Pedra Branca berada dalam perairan wilayah Malaysia, oleh kerana Tubir Selatan terletak dalam perairan wilayah Malaysia, dan kedaulatan ke atas wilayah itu adalah milik Malaysia.

Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan penghakiman ICJ pada 2 Februari selepas menemui fakta baharu berdasarkan 3 dokumen yang disimpan di National Archives of the United Kingdom bagi menyokong tuntutannya.

Singapura sementara itu memfailkan Pemerhatian Bertulis pada 24 Mei 2017 sebagai respons kepada permohonan Malaysia bagi semakan penghakiman ICJ.

Pedra Branca: Malaysia fail permohonan interpretasi penghakiman ICJ

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.